PEMAIN futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Abu Haniffa Hassan hanya mahu memberikan fokusnya kepada perlawanan separuh akhir kedua terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang panggilan ke skuad kebangsaan.
Abu berjaya menyumbang satu gol dalam aksi separuh akhir pertama Malaysia Futsal Cup yang menyaksikan JDT menewaskan Selangor MAC 3-0 sekali gus membawa bekalan selesa ke Pasir Gudang untuk aksi separuh akhir kedua.
“Buat masa ini saya hanya fokus untuk semi final kedua dan kalau ada rezeki, layak ke final jadi saya belum fikir tentang terpilih ke skuad kebangsaan dan saya akan bagi yang terbaik buat JDT,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
“Kedua-dua pasukan bermain baik dan syukur kelebihan pada JDT dengan semua pemain bagi 100 peratus. Kami akan fokus di Pasir Gudang dan perbaiki apa yang perlu kerana kami belum rasa selesa lagi untuk ke final dan akan kerja keras di sana.
“Selepas tewas dalam liga, kita dapat peluang kedua untuk main semi final dan kita dah perbaiki apa yang kurang dalam perlawanan sebelum ini. Gembira tiga gol untuk dibawa ke Pasir Gudang,” jelasnya.
Dalam perlawanan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam itu JDT dilihat bermain lebih tenang dan tersusun hingga menyebabkan Selangor MAC seakan hilang punca dan tidak dapat menyekat penguasaan JDT.