SKUAD Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa kelebihan tiga gol apabila menumpaskan Selangor MAC 3-0 dalam aksi separuh akhir pertama Malaysia Futsal Cup 2023 di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam.
Tiga jaringan daripada Awaluddin Mat Nawi, Abu Haniffa dan Firdaus Ambiah cukup untuk memberikan kelebihan gol tempat lawan kepada pasukan kendalian Juan Antonio Miguel Garcia untuk perlawanan kedua di Stadium Tertutup Pasir Gudang pada 2 September.
Dua pasukan handalan futsal tanah air ini memberikan perlawanan yang menarik buat penyokong yang memenuhi stadium dengan aksi-aksi berkualiti dan dijangka akan bertambah menarik pada separuh akhir kedua nanti.
Pengendali JDT berkata dia gembira dengan kemenangan ini namun perlawanan belum berakhir dan mereka perlu menghormati lawan dan bersedia untuk bekerja semula bagi menghadapi perlawanan kedua nanti.
“Kami sangat gembira dapat menewaskan Selangor MAC hari ini namun ada satu lagi perlawanan separuh akhir kami perlu hormati pihak lawan dan saya sangat-sangat gembira juga kerana walaupun perlawanan ini bukan yang terbaik tetapi pemain bermain dengan serius dan teratur seperti yang dirancang,” katanya.
Sementara itu, pengendali Selangor MAC, Edgar Baldsso pula berpendapat perlawanan masih belum selesai dan perlu melupakan keputusan ini serta akan mencuba yang terbaik apabila berkunjung ke Pasir Gudang.
“Ini adalah futsal. Ianya belum berakhir dan apa yang penting adalah kita perlu lupakan keputusan ini dan lakukan yang terbaik kerana motivasi pemain berada di tahap yang baik untuk mengubah keputusan ini,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.
Edgar turut tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil namun dia tidak mahu memberikan komen lanjut sebaliknya mahu pemainnya terus berjuang pada perlawanan kedua pada Sabtu.