SKUAD futsal Selangor MAC terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga selepas berjaya menewaskan Terengganu 7-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Malaysia Futsal Cup 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam.

Penyandang juara itu bagaimanapun tidak berjaya mempertahankan kejuaraan musim ini selepas tewas kepada pasukan baharu, Johor Darul Ta’zim di peringkat separuh akhir dan tempat ketiga ini boleh dianggap sebagai pengubat duka buat Selangor MAC.

Perlawanan akhir yang berlangsung perlahan pada babak pertama dengan kedudukan terikat 1-1 menjadi lebih menarik pada penghujung perlawanan apabila enam gol dijaringkan dalam tiga minit terakhir yang memihak kepada Selangor MAC yang berjaya mengambil kesempatan kesilapan ‘power play‘ Terengganu.

 

Pengendali Selangor MAC, Edgar Baldsso gembira dengan kedudukan ketiga meskipun dia mahu beraksi di final tetapi tetap berpuas hati selepas kehilangan majoriti pemain mereka dari musim lalu.

“Saya gembira kerana setiap perlawanan kami sasarkan untuk menang dan sudah pasti kami mahu bermain di final tetapi ianya mustahil kerana kami kehilangan ramai pemain musim ini namun kami gembira kerana berjaya memenangi perlawanan terakhir kami musim ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Terengganu, Rozairi Ahmad akur dengan kekalahan ini namun menganggap ini adalah proses buat pemain mereka yang rata-rata pemain muda dan akan kembali dengan lebih kuat musim hadapan.

 

“Menduduki tempat keempat ini boleh dianggap sebagai bonus buat kami meskipun terpaksa akur gagal menaiki podium selain ianya pencapaian terbaik buat saya kerana saya adalah satu-satunya jurulatih tempatan yang layak sejauh ini dan saya percaya masa depan futsal Terengganu cukup cerah dengan program pembangunan yang kami tekankan,” jelasnya.

Selangor MAC berjaya membawa pulang hadiah RM10,000 sebagai pemenang tempat ketiga dan mereka sedia bangkit untuk musim akan datang.