SKUAD hoki kebangsaan masih di laluan terbaik untuk bergelar juara Piala Asia meskipun terikat dengan Korea Selatan 2-2 dalam aksi pertama Super Four di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta.

Korea Selatan tampil dengan aksi berbeza berbanding ketika peringkat kumpulan apabila berjaya mengekang asakan Malaysia dan mengelak memberikan pukulan sudut penalti yang sememangnya bahaya buat mereka.

Speedy Tigers mendahului 1-0 pada minit keempat apabila Razie Rahim sekali lagi meledak jaringan hasil pukulan sudut penalti untuk gol kesembilan beliau dalam kejohanan ini.

Korea Selatan kembali mengatur gerak dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-12 juga menerusi pukulan sudut penalti sebelum berjaya mendahului pada minit ke-20 menerusi gol padang Jeong Junwoo.

Malaysia yang gagal mendapatkan jaringan pada suku ketiga kembali bertenaga pada suku keempat dan akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan hasil jaringan Ashran Hamsani pada minit ke-39.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan gol kemenangan tetapi gagal dan keputusan 2-2 kekal hingga tamat dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Malaysia akan menentang India pada aksi kedua Super Four esok (Ahad)  manakala Korea Selatan akan berhadapan Jepun dengan kemenangan bakal membuka laluan ke final Piala Asia.