BERITA gembira penajaan bernilai RM2 juta setahun dari FreeYond kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, dibayangi prestasi hambar pemain di gelanggang Malaysia Masters apabila hanya satu daripada lapan wakil negara memenangi perlawanan dan melangkah ke pusingan kedua.

Hanya Lee Zii Jia, pemain negara yang terakhir turun ke gelanggang mencapai kemenangan, ketika tujuh lagi wakil longlai di tangan lawan masing-masing.

Zii Jia menjadi penyelamat apabila mengenepikan cabaran pemain China, Lu Guang Zu dengan kemenangan straight set, 21-12, 21-19.

Lee Zii Jia berjaya menidakkan kebangkitan Lu Guang Zu dari China, pada set kedua untuk membolehkannya beraksi di pusingan kedua./Pix BAM

“Set pertama itu agak mudah, namun dia mendapat rentak pada set kedua dan agak sukar untuk saya, saya hanya bermain dengan kesabaran seperti selalu.

“Sebenarnya melihat kebangkitan dia (Guang Zu) di set kedua, saya sudah bersedia untuk bermain pada set penentuan, tetapi saya melihat ada peluang untuk menamatkan permainan, saya menggunakannya sebaik mungkin,” kata Zii Jia, sejurus selepas tamat perlawanan.

Ng Tze Yong kandas di pusingan pertama./Pix BAM

Menurutnya, momentum yang baik di Piala Sudirman di Suzhou minggu lalu meningkatkan keyakinannya untuk beraksi dengan baik hari ini.

Terdahulu, Ng Tze Yong tunduk kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam pertarungan tiga set, 21-17, 16-21, 13-21.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tidak mampu menyaingi gandingan lawan dan tersingkir di pusingan pertama Malaysia Masters./Pix BAM

Turut kandas di pusingan pertama, gandingan beregu lelaki, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong, perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan empat beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.