PEARLY Tan tidak percaya mereka (bersama M.Thinaah) menghabiskan perlawanan separuh akhir dengan kemenangan, selepas satu lagi aksi maraton di Kejohanan Malaysia Masters, Axiata Arena pada Sabtu.

Sejurus tamat perlawanan, perkara pertama dilakukan Pearly adalah menyambut raket Thinaah yang dilambung ke udara oleh pasangannya itu.

“Saya tak fikir itu (kemenangan) real, like a dream for us especially after few matches really tiring,” kata Pearly.

Pearly Tan-M Thinaah kental bertahan./Pix BAM

Pearly-Thinaah memenangi perlawanan separuh akhir ke atas Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan, 21-19, 23-21 dalam aksi 1 jam 32 minit.

Selepas memenangi set pertama, Pearly-Thinaah ketinggalan 2-12 pada set kedua, namun bangkit memenangi perlawanan yang menyaksikan dua rali panjang, 185 pukulan (set pertama) dan 160 pukulan (set kedua).

“Semasa ketinggalan jauh tu, saya dan Thinaah berbincang enjoy setiap mata, terus bersabar.

“Strategi kami menjadi, mungkin disebabkan kami sudah menang set pertama jadi, kami lebih sabar berbanding mereka.”

Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong (Korea) tidak mampu menyaingi ketahanan mental dan fizikal Pearly-Thinaah./Pix BAM

Kemenangan itu membawa mereka ke pentas final pertama tahun ini.

Berbekal sokongan padu penyokong-penyokong sendiri , beregu ke-11 dunia itu menyerap semangat yang disalurkan dan melupakan lelah yang mereka lalui.

Pada pusingan kedua lalu, gandingan wanita nombor satu negara itu beraksi selama 1 jam 29 minit Ketika menewaskan Rena Miyaura-Ayaka Sakuramoto dari Jepun.

Pearly-Thinaah bersedia menentang siapa sahaja di final Malaysia Masters./Pix BAM

Pada suku akhir semalam, mereka beraksi selama 1 jam 51 minit ketika menentang Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (Jepun) dan separuh akhir hari ini, mereka beraksi selama 1 jam 33 minit.

Pencapaian ke final Malaysia Masters adalah yang terbaik buat mereka selepas tiga kali terkandas di separuh akhir tahun ini.

Di final esok (Ahad), gandingan negara akan menentang satu lagi pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang menewaskan pilihan ketujuh Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 21-19, 21-14.

Untuk rekod, kali terakhir beregu wanita negara meraih gelaran di Malaysia Masters yang mula dianjurkan sejak 2009 adalah pada tahun 2012 menerusi gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.