MALAYSIA terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah ke pusingan Aksi Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 seterusnya, walaupun berjaya melakar kemenangan 3-1 dalam perlawanan akhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa.

Krisis kehilangan beberapa tonggak utama Harimau Malaya telah membuatkan Kim Pan-gon berfikir untuk melakukan pertukaran pemain pada aksi kelayakan akhir ini, dengan memasukkan Safawi Rasid dan merehatkan Stuart Wilkin di bangku simpanan.

Safawi yang diberi kepercayaan untuk menampilkan persembahan terbaik di atas padang tampak agak lincah dari awal perlawanan, dan cuba untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke-17 namun gagal menepati sasaran ke dalam gawang pihak lawan.

Safawi beraksi dengan cemerlang malam ini.

Dalam kelalaian Malaysia, akhirnya Chinese Taipei mencuri peluang untuk tampil membuka tirai jaringan seawal minit ke-19, menerusi sepakan daripada Yu Yao Hsing. Semangat Malaysia masih belum pudar apabila Safawi sekali lagi mencuba lakukan sepakan ke arah gawang namun tetap tersasar.

Separuh masa pertama yang amat mendebarkan buat penonton-penonton yang hadir ke stadium, mengharapkan ada keajaiban untuk Malaysia kembali mencuri mata berharga demi merealisasikan impian untuk melayakkan pasukan ke kempen Piala Asia 2027.

Bersambung ke babak kedua, Malaysia tampak lebih konsisten dalam mendominasi permainan dengan lebih baik daripada separuh masa pertama.

Langkah demi langkah dilakukan, Safawi akhirnya muncul wira pertama negara yang berjaya menyamakan jaringan dengan Chinese Taipei, 1-1 menerusi sepakan jauh yang dibuat pada minit ke-53 perlawanan.

Kim Pan-gon terpaksa akur dengan keputusan malam ini.

Dalam situasi bergilir-gilir asakan antara Malaysia dan Chinese Taipei, Paulo Josue sempat memberi kehampaan tatkala pasukan pelawat sedang gigih mendahului perlawanan apabila sepakan yang dilakukan berjaya melepasi gawang Chinese Taipei pada minit ke-69.

Sorakan 14,731 penyokong yang hadir ke SNBJ malam ini (Selasa) terus bergema bagi menjadi pemangkin semangat untuk pemain yang sedang bertungkus lumus di atas padang, dan akhirnya Muhammad Adib Raop berjaya menjaringkan gol ketiga buat Malaysia pada minit akhir perlawanan.

Perlawanan selama 90 minit dan enam minit masa tambahan itu telah berakhir dengan keputusan 3-1, dimana kemenangan tetap memihak buat Malaysia walaupun gagal meraih jurang jaringan besar malam ini.