PASUKAN hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara terpaksa akur dengan gelaran naib juara selepas tewas 2-5 di tangan Belanda pada perlawanan akhir final Piala Dunia Hoki 5s.

Meskipun gagal menjuarai kejohanan sulung Piala Dunia itu, pencapaian ke final sudahpun mencatat satu sejarah, terutamanya pasukan terbabit tampil dengan pelbagai kekurangan dalam menghadapi saingan di Muscat, Oman.

Ketika Belanda sememangnya sebuah pasukan pilihan yang terlalu kuat untuk dihadapi, skuad negara ketinggalan seawal minit pertama menerusi jaringan Van Der Drift Yannick, namun kapten, Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang berada dalam skuad emas Olimpik Remaja 2018, menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Belanda muncul juara edisi pertama Piala Dunia Hoki 5’s yang berlangsung di Muscat, Oman.

Gol penyamaan itu tidak bertahan lama apabila Belanda berjaya meledak dua lagi gol selepas itu menerusi Reyenga Pepijn (m6) dan Van Der Drift Yannick (m13).

Malaysia cuba bangkit menerusi jaringan Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-16 tetapi tidak cukup untuk menghalang kemenangan Belanda yang menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Sander de Wijn pada minit ke-26 Jamie van Aart minit ke-28.

Ketua jurulatih, Wallace Tan menyifatkan pencapaian anak-anak didiknya itu sebagai yang tertinggi, biarpun kecewa gagal menjulang trofi.

Meskipun kekurangan dana dan elaun latihan yang rendah, skuad hoki 5’s negara membawa pulang gelaran naib juara Piala Dunia.

“Kita bermula dalam hoki 5’s ini dengan pusingan kelayakan di Salalah Oman dan pencapaian naib juara pada Piala Dunia pertama ini adalah tertinggi untuk kita.

“Setelah pusingan kelayakan lalu, kita kembali jalani latihan dan cuba perbaiki beberapa perkara hingga mencapai apa yang kita ada hari ini,” kata Wallace.

Pada saingan Piala Asia 5’s yang menjadi pusingan kelayakan Piala Dunia Hoki 5’s, di Salalah, Oman, Ogos lalu, skuad negara menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan.

Skuad bimbingan Wallace tewas di separuh akhir 4-10 di tangan India sebelum kecundang di tangan Oman 5-4 pada penentuan tempat ketiga.

Sementara itu, Oman mengakhiri kempen Piala Dunia kali ini di kedudukan ketiga selepas mengatasi Poland 3-2 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.