WALAUPUN skuad trek berbasikal negara belum berjaya meraih pingat emas di peringkat Sukan Olimpik, Malaysia boleh dikira sebagai Power House dalam acara keirin.

Bekas Olimpian, Josiah Ng berkata, pencapaian Malaysia berada di lima final daripada enam Olimpik terakhir membuktikan kemampuan keirin negara yang setanding pasukan Great Britain dan Australia.

Josiah Ng ketika beraksi bersama Datuk Azizulhasni Awang.

“Final Olimpik Paris paling emosional sebab kita semua dimomokkan dengan pingat emas, jadi rasa teruja mengawal emosi.

“Ia bagaikan fairy tale carrier (selepas gagal memenangi emas), tetapi kita ada legasi besar, satu-satunya negara berada di lima final pada enam Olimpik, bermakna Malaysia is keirin power house,” kata Josiah menerusi laman sosial Tik Tok miliknya.

Josiah berkongsi pandangannya menerusi media sosial.

Perkara itu disifatkan beliau sebagai luar biasa kerana Malaysia bukanlah satu negara budaya berbasikal trek.

Apa dinyatakan Josiah itu ada benarnya, selepas beliau berlumba di final keirin edisi Olimpik Athens 2004, namun pada Beijing 2008, dia bersama Datuk Azizulhasni Awang sekadar beraksi di klasifikasi 7-12.

Begitupun, pada London 2012, negara kembali mempunyai wakil di final menerusi Azizulhasni, sebelum The Pocket Rocketman meraih gangsa pada Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Datuk Azizulhasni Awang menerima kekalahan memeritkan di Tokyo, namun Paris juga tidak memihaknya.

Shah Firdaus terpaksa redha dengan keputusan final keirin.

Di Paris pula, biarpun “bencana” menimpa pelumba nombor  satu negara itu apabila dibatalkan pada pusingan pertama, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya menempatkan diri ke final biarpun gagal menghadiahkan pingat.

Justeru, Josiah yang pernah memenangi tiga pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dan satu emas Sukan Komanwel yakin, berbekalkan fokus dan perancangan lebih rapi, negara tidak akan ketandusan bakat dalam sukan itu.