KEJAYAAN pasukan Kuala Lumpur City FC yang menewaskan Viettel FC dan seterusnya layak ke final Zon Asean turut memberikan mata kepada Malaysia,

Menurut perkongsian laman web Footy Ranking, sebanyak 0.512 mata buat Malaysia sekaligus mengesahkan slot 2+2 di Liga Juara-Juara AFC musim 2024-2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard ternyata gembira dengan kejayaan ini dan secara peribadi  turut teruja dengan pertambahan slot untuk kelab Liga Super di Liga Juara-Juara AFC.

“Saya sangat gembira untuk Liga Super secara keseluruhan,” ulasnya pendek ketika dihubungi FLASH SUKAN yang sekaligus menggambarkan rasa bangganya apabila Kuala Lumpur City FC dapat membantu menaikkan ranking MA Malaysia.

 

Kecemerlangan kelab-kelab Malaysia di kejohanan Asia tahun ini banyak membantu melonjakkan ranking Members Association (MA) negara yang memberikan slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan mata kepada Malaysia apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan di ACL, jumlah mata MA negara bertambah lagi apabila Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City FC bertanding di Piala AFC.

Kuala Lumpur City FC kini akan bertemu PSM Makassar dalam aksi final Zon Asean di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang dijadualkan pada 24 Ogos nanti.