SELEPAS lebih setahun melepasi pusingan kelayakan di Tasik Neuchatel, Switzerland, SSL Team Malaysia akan beraksi di Pusingan Akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria, Sepanyol, November ini.
Diketuai oleh pelayar Olimpian, Khairulnizam Mohd Affendy dan pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, Nur Shazrin Mohamad Latif, Malaysia dibarisi pelayar berpengalaman bagi membentuk pasukan bergelar The Monsoon dalam pertandingan yang disifatkan ibarat Piala Dunia untuk pelayaran.
Kumpulan pertama yang dipimpin oleh kapten pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin berlepas ke Split, Croatia Jumaat lalu, untuk menjalani latihan selama seminggu. Khairulnizam dan Nur Shazrin akan berlepas Selasa ini.
Dari Split, pasukan itu akan bergerak ke Gran Canaria untuk majlis undian kumpulan bagi Piala Emas SSL pada 8 November 2023. Perlumbaan anjuran Yayasan Atlet Pelayaran (SAF), akan bermula dua hari kemudian di pulau yang terkenal dengan tradisi nautikal.
Piala Emas SSL ini bermodelkan kejohanan bola sepak Piala Dunia membabitkan pasukan kebangsaan dalam memburu gelaran juara dunia pelayaran dalam perlumbaan selama 25 hari.
Empat puluh pasukan akan bersaing dalam pusingan akhir ini, termasuk 24 pasukan terbaik dunia dalam Ranking SSL, ditambah dengan 16 pasukan yang layak melalui Siri Kelayakan dari Mei hingga Julai 2022.
“Kami berbangga diberi penghormatan mewakili Malaysia untuk kejohanan ini. Setiap pasukan akan diwakili altet pelayaran terbaik negara masing-masing dan digabungkan menjadi satu pasukan untuk bersaing mengunakkan kapal monohull berukuran 47 kaki,” kata Megat Danial.
Dengan prestasi memberangsangkan pelayar Malaysia sepanjang dua tahun ini, Megat Danial optimis pasukan negara akan memberikan yang terbaik di Lautan Atlantik.
“Latihan di Croatia bertujuan mendorong pasukan untuk memberi tumpuan bagi persiapan akhir. Kami dijadual menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Alan Philip Smith dari New Zealand. Setelah sampai di Kepulauan Canary, pasukan akan berdepan keadaan suhu seperti musim panas tetapi dengan keadaan angin yang mencengkam,” katanya.
Khairulnizam akan menjadi “helmsman” atau jurukemudi, posisi paling penting di atas kapal yang akan mengikut arahan kapten. Sebagai pelayar veteran yang beraksi di tiga Olimpik dalam kategori Laser Standard lelaki, Khairulnizam juga kini berusaha untuk layak ke Paris 2024.
Menemani Khairulnizam di Sepanyol sebagai perancang pasukan “(tactician)” adalah Nur Shazrin, wanita Malaysia pertama layak ke Olimpik di Rio de Janeiro 2016. Hasil tuaian emas di Hangzhou, Nur Shazrin menempah tiket ke Paris 2024. Peranannya berkisar kepada menetapkan kelajuan dan memastikan kapal melalui laluan perlumbaan secepat mungkin.
Melengkapkan pasukan adalah pelayar veteran yang juga ketua kru, Ahmad Faizul Aswad Mohamed (Grinder), Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (Trimmer), Ahmad Syukri Abdul Aziz (Offside Trimmer), Mohd Azhar Sadon Zubir (Pitman), Uzair Amin Mohd Yusof (Mainsail Trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (Bowman), Asri Azman (Floater), Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (Spare Trimmer) dan Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali (Spare Floater).
Setiap pasukan dikehendaki mendaftar seramai 11 pelayar tetapi hanya sembilan akan berlayar pada satu-satu masa.
Megat Danial berkata The Monsoon menghargai sokongan yang dihulurkan oleh Penaung Diraja, Pemangku Raja Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Persatuan Layar Malaysia (MSA), Berjaya Corporation Berhad dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Pusingan Akhir Piala Emas SSL asalnya dijadualkan di Bahrain dari 28 Oktober hingga 20 November 2022 tetapi ditangguhkan disebabkan masalah logistik dan teknikal, ditambah sekatan pergerakan gara-gara COVID19. September lalu, Gran Canaria diumumkan sebagai tuan rumah Piala Emas SSL,
Menurut Megat Danial, SSL Team Malaysia membuat persiapan rapi dengan membawa tukang masak untuk memenuhi keperluan diet pasukan sepanjang pengembaraan mereka.
Pusingan Akhir Piala Emas SSL merupakan kemuncak siri perlumbaan SSL, yang juga satu daripada lima pertandingan pelayaran utama berstatus Acara Khas oleh
badan induk dunia World Sailing (WS) selain Piala America, Sail GP, The Ocean Race dan World Match Racing Tour.
“Sasaran kami adalah untuk kekal kompetitif sepanjang pertandingan,” kata Megat Danial.
Selepas menamatkan tempat ketiga dalam Pertandingan Ujian 1 yang diatur di Tasik Neuchatel dari 13-19 September 2021, pasukan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Afrika Selatan dalam Kumpulan 7 Siri Kelayakan Piala Emas SSL, juga di Tasik Neuchatel pada Julai 2022 untuk mengesahkan tiket ke Pusingan Akhir.
Malaysia berada di tangga ke-51 dalam senarai ranking dunia SSL setakat September 2023, dengan Jepun sebagai negara Asia teratas di tempat ke-29.”