SKUAD hoki negara menempah slot final Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menumpaskan Jepun 4-2 dalam aksi terakhir round robin pada Isnin.

Kemenangan itu membolehkan pasukan bimbingan A Arulselvaraj, menduduki tempat kedua di belakang Korea Selatan.

Kedudukan itu juga menyaksikan Speedy Tigers memperbaiki keputusan 2019 apabila hanya meraih tempat ketiga.

Terdahulu dalam aksi berdepan pasukan negara matahari terbit, pasukan negara bermula garang apabila memperoleh dua gol awal menerusi pakar pukulan sudut penalti Muhamamd Razie Rahim.

Razie tidak berdepan masalah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit kelapan dan kesembilan bagi membolehkan Malaysia mendahului 2-0 di suku pertama.

Tersentak dengan dua jaringan itu, Jepun yang dibimbing Akira Takahashi mula menggandakan asakan sehingga memperoleh beberapa pukulan sudut penalti namun percubaan kali keempat, baru menerjah jaring Malaysia menerusi penyudah Kaito Tanaka di minit ke-23.

Skuad hoki negara jelas tidak mahu penyokong di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh berada dalam keadaan cemas, menjarakkan kedudukan menerusi gol padang Nik Aiman Nik Rozemi pada minit ke-30.

Empat minit kemudian Jepun kembali merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Shota Yamada.

Mereka berpeluang untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan penalti stroke pada minit ke-38 selepas Faiz Jali mengasari Koji Yamasaki namun penjaga gol, Hafizuddin Othman bertindak cemerlang menyelamatkan pukulan Kosei Kawabe.

Pada suku terakhir Malaysia berjaya menambah gol keempat apabila gerakan satu dua Syafiq Sumantri bersama Najib Abu Hassan berjaya memerangkap pertahanan Jepun.

Kemenangan ke atas Jepun melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga kedua, sekali gus akan beraksi di final menentang Korea Selatan Khamis ini

Syafiq tenang menguis masuk hantaran Najib sebelum skuad negara bermati-matian mempertahankan kubu daripasa dibocori sehingga tamat perlawanan.

Aksi akhir menentang Korea Selatan Khamis ini peluang terbaik buat skuad negara membalas dendam ke atas Korea Selatan di final Piala Asia 2022 dan perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah, 1 November lalu.