KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia 2022 sudahpun melabuhkan tirainya dan sekali lagi, kita terpaksa berputih mata untuk menyaksikan pemain tempatan menjulang gelaran.
Peminat tempatan yang memenuhi Arena Axiata sejak hari pertama 28 Jun lalu, kempunan untuk melihat dua beregu lelaki negara – Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melangkah ke final apabila laluan masing-masing tersekat di separuh akhir.
Malah, mereka lebih awal dikecewakan apabila Lee Zii Jia longlai seawal pusingan kedua ketika pemain perseorangan utama negara itu disebut-sebut mampu mengembalikan gelaran acara itu yang kali terakhir menjadi pemain negara menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2018.
Namun apa yang jelas, Zii Jia yang rentak permainan agresifnya menjadi tarikan utama kepada peminat badminton dunia, masih banyak yang perlu diatasinya termasuk mengawal rentak permainan mengikut strategi yang diatur, bukan mengikut penonton.
Zii Jia harus belajar cara untuk menguruskan pergerakannya secara lebih berkesan kerana terlalu banyak melakukan aksi tidak perlu seperti melompat melakukan smash di depan jaring dan berpusing 360 darjah sewaktu melakukan backhand smash.
Adalah lebih baik fokus melakukan permainan yang efektif, bukan menjadi penghibur di gelanggang dengan aksi-aksi yang boleh mendedahkan kepada kecederaan.
Ketika dia memilih mengetepikan Sukan Komanwel bulan depan untuk memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia di Tokyo pada Ogos, kegagalannya untuk mara lebih jauh di Terbuka Malaysia ini menafikannya peluang mendapatkan sentuhan ketika berdepan dengan lawan-lawan yang lebih kompetitif.
Ini secara tidak langsung memberi tekanan tambahan kepadanya di Tokyo nanti. Harapnya janganlah jadi seperti perumpamaan yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Hakikatnya, tidak banyak yang dikendong Zii Jia pun setakat ini.
Selain Izzuddin-Sze Fei yang memberikan persembahan yang membanggakan, beregu wanita, Teoh Mei Xing-Anna Cheong turut menampilkan aksi yang melegakan kem Malaysia apabila mara ke suku akhir selepas menundukkan pilihan kedua, Lee So-hee-Shin Seung Chan dari Korea, sebelum disekat Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun.
Kedua-dua gandingan ini serta Aaron-Wooi Yik sedikit sebanyak menyelamatkan maruah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) daripada terus dibayangi keputusan daripada pemain professional negara. Sebagai rekod, hanya pasangan professional Ong Yew Sin-Te Ee Yi sahaja yang mara sehingga suku akhir manakala yang lain tersungkur lebih awal.
Sementara itu, Terbuka Malaysia yang kali pertama dianjurkan sebuah syarikat pengendali acara, menyaksikan kehadiran jumlah penonton yang tinggi sejak hari pertama sehingga tiket untuk dua hari terakhir sudah habis dijual sejak awal berbanding di kejohanan-kejohanan sebelum ini di mana orang ramai mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendapatkan tiket.
Harapnya sambutan hebat daripada penonton itu dapat memberi pulangan yang baik kepada BAM daripada penganjur hasil jualan tiket dan sewaan gerai di bazar di perkarangan Arena Axiata, bukannya meletakkan persatuan itu dalam situasi yang sama dengan penonton iaitu menang sorak, kalah sabung.
Pembelian tiket secara dalam talian kali ini juga menyaksikan tiada kelompok penyokong Indonesia yang biasanya akan hadir memberi sokongan kepada wakil negara mereka setiap kali beraksi di Malaysia.
Satu perkara yang wajar diberikan perhatian oleh penganjur adalah pencatutan harga parkir kereta yang pada hari biasa adalah RM3 tetapi sepanjang Terbuka Malaysia melonjak sehingga RM10.
Malah difahamkan harga itu melonjak sehingga RM25 sewaktu kejohanan bola sepak kelayakan Piala Asia, baru-baru ini, sesuatu yang wajar dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana mengambil kesempatan.