SATU demi satu slot ke Olimpik Paris 2024 gagal diraih skuad terjun negara, kini harapan hanya tinggal pada acara individu 3 meter (m) papan anjal wanita.

Semalam, gandingan Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri terlepas tiket ke Paris 2024 selepas menamatkan acara 3m papan anjal seirama wanita Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada kedudukan kesembilan keseluruhan.

Beraksi di Pusat Akuatik Hamad, Dhabitah yang masih dibelenggu kecederaan tricep lengan, bergandingan dengan Wendy, sekadar  mengumpul 258.30 mata keseluruhan untuk berada di kedudukan berkenaan daripada 18 pasangan.

Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng masih mempunyai peluang ke Paris, menerusi acara individu 3m papan anjal.

Wakil China, Chang Yani-Chen Yiwen memenangi pingat emas dengan 323.43 mata manakala gandingan Australia, Anabelle Smith-Maddison Keeney pulang dengan perak, 300.45 mata.

Melengkapkan pentas podium di Doha bagi acara berkenaan adalah pasangan Britain, Scarlett Mew Jensen-Yasmin Harper yang mengumpul 281.70 mata daripada lima terjunan.

Empat pasangan di kedudukan teratas menempah tiket ke Paris 2024 secara merit dan sekiranya ada daripada kelompok berkenaan yang sudah melayakkan diri, slot kelayakan akan diberikan kepada pasangan di bawah mereka.

Percubaan Nur Dhabitah Sabri bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama turut gagal membawa mereka ke Paris.

Menurut Pengarah Teknikal Terjun (Persekutuan Renang Malaysia -MS), Bryan Nickson Lomas, Dhabitah mempamerkan prestasi yang baik walaupun berdepan kesakitan lengan.

“Dia beraksi dengan baik Cuma sayangnya, Wendy melakukan kesilapan ketika terjunan keempat,” kata Bryan ketika dihubungi.

Wendy-Dhabitan meraih 53.30 mata pada terjunan keempat biarpun menaikkan darjah kesukaran kepada 3.0, namun memperoleh mata rendah berikutan kesilapan Wendy.

“Dhabitah masih mampu beraksi baik pada aksi terjunan rendah seperti 3m ini kerana impak ketika melakukan entry itu lebih berkurangan berbanding pada ketinggian 10m,” kata Bryan.

Begitupun, Wendy dan Nur Dhabitah masih mempunyai satu lagi peluang untuk ke Paris 2024 menerusi acara 3m papan anjal individu yang bermula dengan pusingan kelayakan, petang ini.