SUKAN badminton yang selama ini menjadi salah satu penyumbang utama pingat untuk Malaysia di temasya Sukan Komanwel, telah digugurkan daripada senarai sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Komanwel 2026, yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Perkara ini disahkan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang hanya mengekalkan 10 jenis sukan berbanding 19 pada edisi sebelumnya di Birmingham, England.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyuarakan kebimbangan Malaysia mungkin kehilangan 16 pingat daripada sukan-sukan yang telah digugurkan, namun menegaskan bahawa keputusan ini merupakan hak tuan rumah untuk memilih sukan yang mereka mahu pertandingkan.

Sukan Badminton yang menjadi penyumbang pingat untuk negara di Sukan Komanwel telah digugurkan dari temasya tersebut yang bakal diadakan di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026 nanti.

“Kita hormati ini adalah hak penganjur. Sama seperti apabila Malaysia ditawarkan untuk menjadi tuan rumah, kita juga diberikan fleksibiliti untuk menentukan sukan yang ingin dipertandingkan. Namun, kerana kekangan kewangan, kita terpaksa menolak tawaran tersebut,” jelas Hannah.

Walaupun kehilangan sukan seperti badminton, Hannah optimis bahawa Malaysia masih berpotensi meraih kejayaan melalui sukan-sukan yang masih dipertandingkan seperti angkat berat dan boling padang, di mana negara mempunyai kekuatan dan atlet berkaliber.

Mengulas tentang relevansi Sukan Komanwel, Hannah menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong temasya ini kerana negara merupakan sebahagian daripada sejarah Komanwel.

“Tidak adil untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel kerana sejarah kita sebagai sebahagian daripada Komanwel. CGF juga berbincang dengan saya mengenai idea-idea baru untuk menghidupkan semula minat terhadap temasya ini,” katanya.

Walaupun pengumuman Glasgow dilakukan agak lewat, Hannah memahami kesulitan yang dihadapi oleh pihak penganjur dan menekankan bahawa sokongan Malaysia tetap ada untuk temasya ini.

Menjawab persoalan sama ada Malaysia harus memboikot Sukan Komanwel, Hannah menegaskan bahawa keputusan untuk tidak menghantar atlet adalah merugikan.

“Kalau kita boikot, buat apa? Kita ada atlet yang sudah menjalani latihan, contohnya dalam sukan angkat berat dan boling padang. Kita sudah melaburkan wang untuk persediaan mereka, jadi kita sepatutnya menghantar mereka untuk bersaing,” tegasnya.

Atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, memenangi pingat gangsa  selepas menewaskan pemain Norfolk Island, Shae Wilson. dalam penentuan pingat gangsa perseorangan wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022. 

Walaupun perubahan dalam senarai sukan dipertandingkan, Malaysia tetap komited untuk bersaing dalam sukan yang ditawarkan dan berharap dapat terus membawa pulang pingat dalam Sukan Komanwel 2026.