MALAYSIA sah tidak akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026, selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini, memutuskan keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan impaknya.

Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan, mengumumkan keputusan kerajaan itu, untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Menurut kenyataan terbabit, pada 5 Februari lalu, delegasi daripada CGF bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Kerajaan menggariskan tiga alasan utama, menolak tawaran CGF untuk Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, menggantikan Victoria, Australia.

Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

Selain itu, kerajaan juga berasakan impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini.

“Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

“Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” petik kenyataan terbabit.

Kuala Lumpur ketika kali pertama menganjurkan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah selepas Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri dengan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.