KEJOHANAN bola sepak 7 Sebelah Asia semakin meluaskan jejaknya di seluruh benua dengan menampilkan lapan pasukan yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam pada 10 hingga 13 Oktober hadapan.
Dianjurkan oleh 7×7, kejohanan ini melibatkan penyertaan Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Vietnam manakala Jepun, Brunei, India dan Filipina mengambil bahagian dalam kejohanan sulung di Manila tahun lepas.
Ditubuhkan dua tahun lalu sebagai kejohanan utama benua, ia akan dimainkan dengan gabungan peraturan futsal dalaman dan peraturan bola sepak standard di padang yang lebih kecil di EV Arena, Elmina, Shah Alam, Malaysia.
Lapan pasukan ini dibahagikan kepada dua kumpulan dalam format liga.
Setiap perlawanan berlangsung selama 20 minit setiap separuh masa tanpa henti, dengan tujuh pemain di atas padang dan tujuh pemain gantian didaftarkan.
Presiden 7×7 dan Pesuruhjaya Kejohanan Asia 7s 2024, Anton del Rosario, berkata, selepas kejayaan kejohanan empat negara yang dimenangi oleh Jepun di Manila tahun lepas, pihkanya ingin mempromosikan permainan ini di seluruh benua dengan skala yang lebih besar.
“Mengadakan edisi kedua Kejohanan Asia 7s di Kuala Lumpur adalah satu langkah untuk menjadikan permainan ini lebih mudah diakses di seluruh Asia, dengan matlamat akhirnya menjadikannya sebuah kejohanan berskala Asia, berdasarkan model kejohanan 11 sebelah di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya,
Del Rosario yang pernah mewakili pasukan Filipina selama lebih daripada satu dekad sebagai pemain bek kanan, gembira negaranya menghidupkan kembali nama Azkals dan bekas kapten, Stephan Schrock dan Misagh Bahadoran bergabung sebagai kapten pasukan, manakala Patrick Ace Bright dan Ethan Lee berkhidmat sebagai pengurus pasukan itu.
Bekas kapten Filipina, Stephan Schrock, dianggap sebagai pemain paling berjaya di Filipina telah mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada bulan lalu.
Manakala Bahadoran adalah penjaring terbanyak sepanjang masa pasukan Filipina dalam futsal dan pernah bermain untuk Perak di Liga Super Malaysia pada 2018.
Pasukan Azkals pula akan dibimbing oleh bekas bintang futsal Iran, Hamid Hajimedhedi.
“Ini adalah langkah seterusnya untuk mengekalkan nama Azkals yang sinonim dengan bola sepak Filipina.
Dengan menggunakan nama tersebut, kami sekali lagi dapat memberi inspirasi kepada semua pemain bola sepak muda di Filipina,” kata Schrock.
Del Rosario menambah pihak persekutuan berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan kongsi Sime Darby, Ascott Star, Jantzen Water, Chronos dan Shoeverse untuk menjadikan kejohanan di Malaysia ini berjaya.
Sebagai tuan rumah, Malaysia dijangka menurunkan beberapa nama besar dan akan diuruskan oleh pengasas Bunga Raya Damansara FC, Adam Azman.
Kelab tersebut kini bermain di liga kedua dalam hierarki liga bola sepak Malaysia, Liga Semi Pro A1 Malaysia dan mempunyai tiga bekas pemain antarabangsa Malaysia dalam pasukan mereka iaitu Khyril Muhymeen Zambri, K. Gurusamy dan R Kogileswaran Raj.
Kejohanan Asia 7s sulung di Manila pada tahun 2023 dimenangi oleh Jepun selepas menewaskan India 3-2 dalam perlawanan akhir.