HASRAT yang tertangguh… impian pasukan hoki lelaki negara untuk menjuarai Trofi Juara-Juara Asia 2023 tidak kesampaian apabila tumpas 4-3 pada perlawanan akhir yang menyaksikan kebangkitan luar biasa India.

Aksi penuh drama di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, itu, skuad bimbingan A Arulselvaraj bermula agresif dengan permainan high pressing, sehingga membuatkan pasukan tuan rumah tergamam.

Peluang Malaysian tigers membuka jaringan hadir pada minit pertama menerusi hantaran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal namun gagal disudahkan penyerang negara, Faizal Saari.

Keghairahan Malaysia untuk memburu gol pertama perlawanan bagaimanapun tidak kesampaian apabila India lebih dahulu di hadapan.

Jugraj Singh menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol negara Hafizuddin Othman pada minit kesembilan.

Amirul Hamizan Azahar cuba menenangkan Faizal Saari pada final Trofi Juara-Juara Asia 2023. Malaysia tewas 3-4 kepada India. -Pix Hockey India

Tersentak dengan gol itu, skuad Malaysian Tigers kembali memperkemaskan permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14, menerusi jaringan padang Azrai Aizad Abu Kamal.

Skuad negara di hadapan apabila kapten, Raziie Rahim meledak gol menerusi pukulan sudut penalti untuk skuad nengara memimpin perlawanan 2-1 pada minit ke-18.

Malaysia bertambah yakin dan berjaya mendapatkan gol ketiga kali ini menerusi Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit ke-28, berpunca dari pukulan sudut penalti sekali gus meletakkan skuad negara selesa dengan dua jaringan pada separuh masa pertama.

Pemain India meraikan jaringan ketika menewaskan Malaysian Tigers 4-3 di final Trofi Juara-Juara Asia 2023. -Pix Hockey India

Permainan skuad negara mula longgar dan tidak lagi mengekalkan high pressing sehingga India mempunyai ruan tampil lebih agresif.

Pasukan tuan rumah mula menguasai permainan dan berjaya mendapatkan dua gol menerusi penalti strok, Harmanpreet Singh dan gol padang Gurjant Singh pada saat akhir suku ketiga sekaligus berjaya menyamakan kedudukan.

Memasuki suku keempat kedua-dua pasukan dilihat saling bertukar serangan bagi mendapatkan jaringan untuk meletakkan mereka dihadapan.

Tuah nyata berpihak kepada tuan rumah apabila berjaya mendapatkan gol keempat mereka pada minit ke-56 menerusi jaringan padang Akashdeep Singh.

Nasib terus tidak memihak kepada pasukan negara apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain dan gagal untuk mendapatkan gol penyamaan sekaligus terpaksa akur tumpas 4-3.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pasukan negara apabila berjaya mara menjadi naib juara buat pertama kali sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 2011.

Apapun, skuad negara seharusnya menggunakan perlawanan akhir ini sebagai bukti kepercayaan bahawa mereka tidak ketinggalan berbanding pasukan di ranking keempat dunia itu.