PERMULAAN kempen Sukan Asia Hangzhou nampaknya berada pada landasan yang betul buat Malaysian Tigers, apabila tiada masalah membenam cabaran Thailand 9-0 pada aksi pertama Kumpulan B yang berlangsung di Padang Hoki Gongshu Canal Sports Park.
Penguasaan penuh diperaga anak buah A Arulselvaraj, yang dilabel sebagai antara pilihan dalam Kumpulan B.
Begitupun, Thailand bertahan dengan baik di awal permainan apabila berjaya menyerap asakan pemain negara yang memasuki kawasan D mereka.
Namun mereka hanya mampu bertahan selama lapan minit sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka jaringan menerusi gol padang.
Malaysia menyumbat satu lagi gol padang pada minit ke-21 menerusi penyudah Firhan Ashari sebelum menutup suku kedua dengan gol ketiga Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.
Suku ketiga menyaksikan Malaysia tambah bernafsu menjaringkan empat gol menerusi Nik Mohd Aiman, Muhammad Azrai Aizad dan dua pukulan sudut penalti Muhammad Aminuddin Mohd Zain.
Dua lagi gol dihasilkan pada suku keempat hasil jaringan Abdul Khaliq Hamirin dan Amirul Hamizan Azahar untuk Malaysia menoktahkan kemenangan bergaya 9-0.
Selepas ini, skuad hoki negara akan berdepan Oman manakala Thailand akan menentang Korea Selatan di venue sama, Selasa ini.