CORAK bertahan yang mungkin dihidangkan Thailand ketika berdepan skuad hoki lelaki negara, pada perlawanan pertama Kumpulan B, Sukan Ashia Hangzhou 2022, esok bukan satu masalah kepada Malaysian Tigers untuk mendapatkan jaringan besar.

Penyerang kebangsaan Firhan Ashari berkata, fokus dan kekal dengan disiplin corak permainan yang sudah ditetapkan, peluang menjaringkan gol akan terbuka.

“Pada saya, kita tak perlu tergesa-gesa untuk mendapatkan jaringan, hanya kekalkan konsep permainan dan tahu masuk ke dalam D, tidak sukar untuk meneruskan kerja seterusnya.

“Malah jika dilakukan dengan betul, tidak mnustahil kita boleh dapat banyak gol,” kata Firhan, ditemui selepas sesi latihan di Universiti Perubatan Tradisional Zhejiang pada Sabtu.

Skuad hoki lelaki negara melakukan persiapan terakhir sebelum perlawanan pertama hoki Sukan Asia menentang Thailand, esok.

Menurutnya, pengalaman pasukan yang sudah banyak menyertai kejohanan di serata dunia, cukup untuk mematangkan pemain dalam setiap perlawanan berbeza.

“Kita dah lama tak menentang Thailand, tapi kami ada menonton dan menganalisa video. Tak perlu risaukan persediaan lain dan fokus kepada pasukan sendiri.

“Kita tahu kemampuan kita di tahap mana, jadi fokus dan berikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, flicker kedua Malaysian Tigers, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menganggap perlawanan pembukaan sangat penting untuk setiap pemain mendapatkan keyakinan diri.

Najmi Farizal Jazlan yakin kemampuan pasukan negara untuk menjinakkan Thailand, esok.

“Tidak boleh ambil mudah cabaran Thailand dan kami ambil serius setiap kejohanan dan perlawanan.

“Menentang Thailand adalah satu perjalanan kami dalam kejohanan ini, perlu betul-betul melihat set play dan mencari momentum permainan,” katanya.

Najmi antara penyumbang jaringan sudut penalti pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India bulan lalu menganggap, menghadapi Thailand sepertimana menentang India mahupun Korea Selatan.

Pasukan lelaki negara diletakkan dalam kumpulan B bersama Korea, China, Oman, Thailand dan Indonesia, manakala Kumpulan A, terdiri daripada India, Jepun, Pakistan, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan.