BAGAIKAN patah sayap, tidak mampu lagi bertongkat paruh, skuad hoki lelaki negara tunduk 2-5 kepada Pakistan, sekali gus sekadar berada di kedudukan keenam pada perlawanan klasifikasi, Sukan Asia ke-19, di Hangzhou, China.

Selepas gagal ke separuh akhir, pemain bimbingan A Arulselvaraj tidak lagi bersemangat seperti perlawanan sebelumnya, ketika menentang Pakistan di Stadium Gongshu Canal Park.

Kemenangan yang diharapkan bagi meraih mata ranking, bertukar tragedi, malah reputasi Malaysian Tigers sebagai pasukan kedua Asia dalam ranking dunia turut tercalar.

Pada perlawanan itu, Malaysia terlebih dahulu di depan menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit kelima, namun dibalas pukulan sudut penalti  Ahmad Arbaz.

Kedua-dua pasukan gagal menambah gol dalam suku kedua, namun gol padang Abdul Rehman pada minit ke-37 membolehkan Pakistan kembali di depan.

Aksi bertambah rancak pada suku keempat yang menyaksikan Pakistan terus garang menyumbat dua gol lagi menerusi pukulan sudut penalti Abdul Rana (m51) dan gol padang Ammad Muhammad (m53) untuk Malaysia terus ketinggalan tiga gol.

Razie Rahim mengurangkan defisit kepada 4-2 pada minit ke-58 namun Pakistan kembali melebarkan penguasaan menerusi gol kelima jaringan padang Afraz pada minit ke-59.