SELAIN skuad Piala Dunia Remaja Lelaki langkah sumbang di Piala Sultan Johor, skuad hoki wanita negara turut bermula dengan langkah kiri pada aksi pertama liga sepusingan Trofi Juara-Juara Asia, apabila tumbang 0-3 kepada Jepun.

Ketua jurulatih skuad negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, aksi getir sudah dijangka ketika menentang pasukan yang sering beraksi di Piala Dunia dan Olimpik itu, ketika saingan di Stadium Hoki Astroturf Marang Gomke, Jaipal Singh, India.

Perlawanan seterusnya agak sukar namun, pemain wanita negara perlu bangkit semula apabila bertemu pasukan tuan rumah, India, lewat malam ini.

Pemain negara cuba melepasi halangan pemain Jepun dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di India. |Foto by AHF / Hockey India

 

“Perlu ada peningkatan daripada pemain terutama sekali mengenai tahap keyakinan. Mereka nampak sangat gementar tetapi kembali memperoleh keyakinan semula sepanjang perlawanan.

“Jadi saya amat mengharapkan barisan pemain muda dapat tingkatkan prestasi untuk perlawanan seterusnya bertemu pasukan tuan rumah. Kita dapat mengekang Jepun ketika bertahan untuk pukulan sudut penalti.

“Untuk pertemuan dengan India, kami perlu melakukan perancangan lebih teliti kerana mereka berada di ranking terbaik Asia dan beraksi di tempat sendiri,” katanya.

Pemain negara cuba melepasi halangan pemain Jepun dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di India. |Foto by AHF / Hockey India

 

Pada perlawanan semalam, skuad negara ketinggalan sejak minit ke-13 selepas Rika Ogawa menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Meskipun berjaya mengimbangi perlawanan selepas itu, namun gawang Malaysia bolos lagi minit ke-43 menerusi gol padang Mai Toriyama sebelum Shiho Kobayakawa melengkapkan kemenangan Jepun apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-54.

Meskipun bermain dengan baik, pertahanan negara tidak mampu menahan asakan bertali arus Jepun dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia di India. |Foto by AHF / Hockey India

 

Malaysian Tigress akan turun pada perlawanan kedua bertemu India jam 11 malam ini.

Selepas perlawanan pertama, skuad negara menghuni tangga kelima daripada enam pasukan, dengan India, Jepun serta Korea Selatan masing-masing mengumpul tiga mata.

Skuad negara di belakang China dan di atas Thailand tanpa sebarang mata, namun dibezakan menerusi perbezaan jaringan.