PENGURUS pasukan Malaysian University FT, Mohd Farid Dewan lega apabila kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju memberikan kebenaran untuk mereka menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue tuan rumah bagi aksi pertama suku akhir Piala FA pada Sabtu.

Malaysian University terpaksa memohon untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim susulan mereka tidak memiliki stadium bola sepak yang sesuai serta berdepan kekangan untuk pengurusan perlawanan.

Lampu hijau yang diberikan oleh pihak JDT untuk beraksi di SSI nyata memberi kelegaan kepada pasukan itu dan kini mereka hanya menunggu keputusan MFL berhubung perubahan venue berkenaan.

Keadaan Stadium UKM yang tidak sesuai untuk aksi suku akhir Piala FA

“Kita ada berbincang dengan pihak pengurusan JDT selepas pusingan 16 tempoh hari dan pada mulanya memang kita memohon untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim sebab kita tiada stadium di sini.

“Kita adalah pasukan amatur jadi venue kita kebanyakannya di universiti. Jadi kita memang tiada venue yang sesuai dan memohon serta hantar surat kepada JDT supaya mereka dapat bantu untuk bermain di SSI.

“Syukur surat yang kita hantar telah dibalas oleh JDT dan mereka berlapang dada untuk bagi kita guna stadium mereka secara percuma dan ada juga beberapa benda lain yang JDT sanggup untuk bantu kita termasuklah dari segi tenaga kerja dan juga kos keselamatan.

MUFT lakukan kejutan singkirkan PDRM FC pada pusingan 16 Piala FA 2024-25

“Jadi JDT memang nak tolong kita dan kalau tanpa mereka, kita di pihak Malaysian University pun susah juga sebenarnya,” jelasnya.

Malaysian University satu-satunya pasukan amatur daripada Liga A1 Semi Pro yang mara ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini untuk mereka berdepan JDT.

Selain perlawanan antara Malaysian University dan JDT pada Sabtu, satu lagi aksi membabitkan pertembungan Kuching City FC yang akan menentang Selangor FC.