MALEEQ Dragster, membuka kalendar musim 2024 dengan bergaya selepas menewaskan pencabar antarabangsa lain, untuk mengungguli Kejuaraan Run Bike Series (RCS) Jepun 2024 di Fuji Marine Pool baru-baru ini.

Ini adalah pencapaian terbaharu pelumba cilik negara, Maleeq atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri, selepas mencipta sejarah menjadi anak Malaysia pertama membawa pulang trofi RCS Jepun musim ke-12 pada November lalu.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli, yang juga bapa kepada Maleeq berkata, kejayaan itu amat bermakna buat komuniti pushbike yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada anaknya.

Maleeq Dragster (nombor 5) memimpin perlumbaan.

“Perlumbaan kali ini sangat mencabar kerana bukan sahaja persaingan antara pelumba, tetapi cuaca pada dua hari pertandingan yang hujan. Apabila hujan, suhu menjadi semakin sejuk dan Maleeq berlumba dalam kesejukan.

“Bagi mengekalkan kejuaraan adalah sesuatu yang mendebarkan dan merisaukan kami sebagai ibu bapa. Tahniah dan bangga kerana ini adalah permulaan terbaik Maleeq untuk tahun 2024.

“Membawa nama Malaysia dan pasukan M8 Malaysia ke peringkat lebih tinggi adalah satu tanggungjawab yang besar. Tanpa usaha dan pengorbanan tidak mampu kita ukir kejayaan. Sejarah berulang lagi kali ini buat Maleeq,” katanya.

Maleeq Dragster naik podium lagi.

Kejayaan Maleeq turut menerima pujian daripada Presiden RCS, Yuuki Takahira yang mengakui Malaysia berjaya melahirkan seorang juara, selain mendapat liputan beberapa akhbar Jepun seperti Tokyo Chinichi Sports dan Majalah RCS.

RCS Jepun adalah kejohanan terbesar di Asia mengumpulkan juara-juara pushbike dari seluruh dunia antaranya peserta tuan rumah, China, Taiwaan, Thailand, Malaysia dan banyak lagi.

Sebagai persediaan, Maleeq menyertai kejohanan pemanas badan M8 Centre Pushbike Race yang dianjurkan di Malaysia selama dua hari pada 30 dan 31 Disember lalu yang menyaksikannya muncul juara berganda pada saingan tersebut.

Kejayaan itu memberikan keyakinan tinggi buat Maleeq sehingga berhasil menjuarai RCS Jepun buat kali kedua berturut-turut.