KETUA Jurulatih Bawah 23 Tahun Kebangsaan, Brad Maloney disahkan ‘berpisah’ dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam kenyataan FAM pada Rabu, pengendali kelahiran Australia berusia 50 tahun itu dilepaskan persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

“Ia dicapai selepas Maloney hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan SEA 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu.

“Maloney merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana telah memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014 yang mana ia telah banyak membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihannya bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan.

“Selamat maju jaya kepada Maloney dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini. Jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang. Terima kasih,” jelas Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Kontrak sebenar Maloney bersama pasukan kebangsaan berakhir pada Disember 2023.