SKUAD Bawah 23 tahun negara menjalani sesi latihan terakhir pagi ini sebelum berlepas ke Uzbekistan bagi menghadapi cabaran Piala Asia AFC Bawah 23 Tahun (B-23) yang akan bermula dari 1 hingga 19 Jun ini.
Jurulatih, Brad Maloney lega apabila kesemua pemain yang kembali dari Sukan SEA 2021, Vietnam berada dalam keadaan terbaik dan dia akan membuat keputusan siapakah 23 pemain yang bakal menggalas cabaran negara selepas selesai sesi latihan.
Maloney juga sempat berbincang dengan jurulatih skuad senior, Kim Pan-gon mengenai pemain Korea Selatan yang perlu diawasi sebagai persiapan menghadapi juara bertahan itu pada aksi pembukaan di Stadium Lokomotiv, Tashkent.
Selain itu, Maloney juga akan hanya dapat menilai aksi Vietnam di bawah jurulatih baharu di Uzbekistan dan akan menentukan taktikal dan formasi pemain menjelang sesuatu perlawanan bergantung kepada lawan dan pemain yang ada.
“Kita dibenarkan membawa 23 orang pemain dan semuanya akan ditentukan selepas tamat sesi latihan ini dengan kesemua pemain yang ada berada dalam keadaan terbaik dan bersedia.
“Saya dan Pan-gon ada berbincang mengenai pemain Korea Selatan. Melihat kepada senarai pemain mereka mempunyai pemain berkualiti yang beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo dan juga beberapa muka baharu.
“Jurulatih Vietnam pasti akan membawa masuk beberapa pemain baharu dan beliau pasti akan menerapkan gaya dan corak permainan sendiri. Kami akan menilai mereka pada perlawanan pertama di Uzbekistan nanti.
“Kami juga akan menghadapi perlawanan satu demi satu dan segala perancangan adalah berdasarkan lawan yang dihadapi dan juga pemain yang ada ketika itu. Kami tidak mempunyai satu taktikal yang akan digunakan untuk semua permainan,” jelasnya ketika sesi latihan terakhir pada Sabtu.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya meletakkan sasaran layak ke separuh akhir dan Brad Maloney yakin anak-anak buahnya mampu beraksi cemerlang untuk menghasilkan keputusan yang baik buat Malaysia.
Skuad muda kebangsaan akan berlepas ke Tashkent esok dan akan menentang Korea Selatan pada 1 Jun, Thailand 5 Jun dan Vietnam pada 8 Jun dalam aksi Kumpulan C.