PENGLIBATAN jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sukan permotoran dua roda mendapat sokongan penuh Motorsport Association of Malaysia (MAM) yang yakin dengan tahap profesionalisme yang diterapkan JDT mampu melahirkan sebuah pasukan yang bergelar juara dalam tempoh yang singkat.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir yang turut menganggap kehadiran jenama JDT dalam sukan permotoran adalah sesuatu yang hebat dan dinanti-nantikan para peminat sukan ini.
JDT menerusi pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pemangku Sultan Johor sebelum ini telah mengumumkan niat untuk memasuki arena perlumbaan motosikal bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship 2024 dengan hasrat untuk bersaing dalam kejuaraan Superbike World Championship kelak.
“JDT seperti apa yang telah dilakukan dalam bola sepak dan perlumbaan kereta terbukti berjaya dan kini dengan perlumbaan dua roda ianya sangat hebat untuk sukan permotoran secara umum.
“Ini kerana pasukan-pasukan Malaysia yang berpeluang untuk menjadi jaguh di Malaysia dan rantau ini sangat sedikit jadi saya rasa profesionalisme yang diterapkan JDT di sukan bola sepak dan perlumbaan kereta boleh dilanjutkan ke perlumbaan dua roda.
“Dengan jentera Ducati, peluang untuk menjadi jaguh dalam masa yang terdekat itu sangat cerah dan mengetahui JDT, jika mereka mahu lakukan, mereka akan lakukan dengan tepat dan saya jangkakan pasukan ini ditubuhkan untuk menang,” katanya ketika ditemui media.
Mokhzani juga melihat pasukan JDT Racing Team ini berpotensi menjadi kilang untuk melahirkan lebih banyak bakat-bakat baharu dalam arena dua roda kerana Malaysia semakin ketandusan pelumba di kejuaraan MotoGP dunia.
“Kita pandang berat isu ini kerana Malaysia tidak ada pelumba dalam MotoGP buat tahun kedua dan JDT Racing Team mungkin boleh menjadi kilang untuk melahirkan bakat-bakat baharu dan kami di MAM menyokong penuh penglibatan JDT dalam sukan permotoran dua roda,” jelasnya lagi.
Diketuai bekas pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah, JDT Racing Team sudah memulakan ujian awal di Litar Antarabangsa Petronas Sepang sebagai persediaan menghadapi musim ARRC 2024 yang akan bermula di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada Mac.