BIARPUN dilabel sebagai pertembungan antara dua darjat kerana atas kertas sudah semestinya Selangor FC dilihat lebih ampuh menentang Kelantan United FC yang sebelum ini hanya berada dalam saingan Liga M3, namun usah pandang rendah kemampuan skuad Kijang Hijau ini.

Dengan dibarisi rata-rata pemain yang kurang popular, namun semangat juang yang tinggi skuad kendalian Tomas Trucha ini wajar diberi perhatian apabila mereka bersaing bersama beberapa pasukan hebat dalam kancah Liga Malaysia.

Seperti yang diketahui umum, Kelantan United memiliki kapten pasukan yang sangat berpengalaman iaitu Indra Putra Mahayuddin yang acap kali mendatangkan bahaya ke kubu pasukan lawan.

Ditambah dengan kemasukan penyerang import Filipina, Jose Elmer Porteria yang merupakan pemain import keempat skuad Kijang Hijau pada musim ini, ia sudah semestinya menambah bisa di bahagian jentera serangan skuad pantai timur tanah air.

Tiga lagi pemain import adalah Ernist Batyrknov (Kyrgyzstan), Yan Victor (Brazil) dan Morgaro Gomis (Senegal).

Manakala bagi pasukan Selangor FC, segala-galanya pasti akan dibuktikan dengan kombinasi pemain yang dilihat lebih bersedia menghadapi saingan liga musim ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini memiliki kemasukan beberapa pemain baharu iaitu Faisal Halim, Ahmad Khuzaimi Piee serta V. Ruventhiran sudah semestinya menjanjikan skuad lebih mantap Gergasi Merah kali ini.

Dengan perbelanjaan yang lebih tinggi pada musim ini, Selangor FC turut mengundang import berkualiti, Ayron Del Valle serta Rauf Salifu serta beberapa tonggak berkesan yang dilihat mampu menghadirkan gerun kepada pasukan lawan.

Dengan beberapa siri perlawanan persahabatan di Thailand serta aksi Piala Harapan kali ini, pemain semestinya mendapat lebih pendedahan dengan taktikal yang diterapkan jurulatih kelahiran Kedah itu.

Atas kertas, Selangor FC adalah pilihan untuk aksi Ahad ini di Stadium MBPJ, namun Gergasi Merah perlu waspada ancaman serangan balas Kelantan United FC yang pastinya ingin melakukan sesuatu untuk menggagalkan hasrat skuad dari Lembah Klang itu.