SKUAD Kelantan United FC pastinya mempunyai misi serampang dua mata apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Misi utama adalah untuk cuba mencari kemenangan pertama disamping cuba menghalang JDT daripada mendapat ‘Perfect 10’ selain perlu berhati-hati untuk mengelak daripada dibelasah teruk oleh Harimau Selatan.
Mengikut rekod, lima pasukan lawan yang bertandang ke Iskandar Puteri musim ini telah melepaskan 20 gol dengan hanya Kelantan FC yang berjaya menjaringkan satu gol itu pun menerusi sepakan penalti.
Skuad kendalian Nazrulerwan Makmor sekali lagi akan berkunjung ke laman lawan selepas beraksi enam perlawanan berturut-turut pada Ramadan lalu yang menyaksikan para pemain keletihan kerana tidak mendapat rehat yang mencukupi.
Namun ianya bukan tugas yang mudah buat skuad Kijang Hijau untuk menghalang barisan kendalian Esteban Solari yang pastinya mahu menggunakan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri untuk mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut sekaligus menjarakkan lagi kedudukan dalam Liga Super.
Kelantan United menjadi pasukan tunggal yang masih belum mencatat kemenangan dan misi mencari tiga mata sulung ini bukanlah tugas yang mudah kerana semua tahu kekuatan yang ada pada Harimau Selatan di setiap bahagian.
Liga Malaysia kini berehat bagi memberi laluan kepada skuad B22 kebangsaan beraksi di Sukan SEA dan tempoh rehat yang panjang ini amat penting untuk Kelantan United memastikan pasukan bersedia untuk memberi tentangan kepada JDT terutama dari segi kekuatan mental dan fizikal.
Di kem JDT pula, kesemua pemain dilihat berada dalam keadaan terbaik termasuk kembalinya Natxo Insa dalam latihan dan ini pastinya menambah satu lagi pilihan buat Solari di bahagian tengah bagi menghadapi taktikal bertahan yang mungkin diamalkan Kelantan United.
Ditambah pula keadaan harmoni dalam pasukan ketika ini seperti yang dapat dilihat ketika majlis makan malam di Singapura bersama pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ianya pasti akan menambahkan semangat buat para pemain untuk mengejar rekod 10 kemenangan berturut-turut.
Perlawanan pada Sabtu ini pastinya sukar buat Kelantan United untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan positif namun JDT masih perlu berwaspada dengan taktikal bertahan yang digunakan kerana apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak.