UJIAN sebenar menanti skuad Kuching City FC sejak dinaikkan pangkat ke Liga Super apabila bakal berhadapan juara liga sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Jumaat.

Kuching City dalam prestasi yang kurang baik apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir manakala JDT pula memenangi kesemua 10 perlawanan awal liga dan kini dalam misi mencari kemenangan ke-11 dan melebarkan jurang di persada liga.

Namun begitu menurut penolong jurulatih Sulaiman Hussin, barisan pemain Kuching City dituntut untuk memberikan saingan dan berada pada tahap keyakinan tertinggi jika ingin melakar kejutan kerana tidak ada yang mustahil dalam bola sepak.

“Para pemain perlu membuang perasaan hormat dan gerun kepada status JDT dgn barisan yang cukup ampuh. Mereka perlu buang perasaan hormat kerana perasaan hormat dan gerun membuatkan pemain-pemain mudah cemas dan mula melakukan kesilapan mudah.

“Diharapkan para pemain boleh memberikan saingan dengan menyukarkan permainan JDT. Ramai yang sudah berkira-kira apakah kami mampu tetapi dalam bola sepak semuanya mungkin.

“Pemain-pemain juga sedar betapa mereka perlu berada dalam tahap keyakinan yang tinggi jika ingin melakarkan suatu kejutan di Kuching dan kami mula nampak perubahan dari segi permainan berdasarkan dua perlawanan lalu cuma untuk mencapai kemenangan perlu bekerja keras.

“Irfan Bakti pasti ada ramuan berdasarkan pengalamannya sebelum ini bertemu JDT dan saya berharap satu permainan yang bersemangat mampu ditampilkan oleh Kuching City FC,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Pastinya satu perlawanan yang cukup sukar buat Kuching City untuk menyekat kemaraan JDT yang mempunyai purata 4.3 jaringan dalam setiap perlawanan ketika ini namun aksi di laman sendiri mampu memberikan semangat tambahan buat para pemain.