MAMPUKAH Penang FC menyekat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dari mencipta rekod baharu kelab dengan memenangi kesemua perlawanan pusingan pertama Liga Super apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Skuad Harimau Kumbang sudah pasti mahu bangkit semula selepas dua kekalahan berturut-turut dalam liga namun pengendali pasukan, Manzoor Azwira Abdul Wahid sedar bukan tugas mudah buat mereka untuk menyekat dominasi JDT.

Perlawanan ini juga boleh dianggap sebagai ulangan kepada aksi suku akhir Piala FA yang menyaksikan Harimau Selatan membelasah Penang 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Ahad lalu.

 

Walaupun tampil bukan dengan barisan utama, namun kualiti yang ada pada JDT masih mampu memenangi perlawanan dengan selesa dan pada aksi Liga Super kali ini, Esteban Solari dijangka akan kembali menurunkan kesebelasan terbaik bagi meneruskan rentak cemerlang sekaligus mencipta rekod baharu kelab.

Bagaimanapun Solari tetap berhati-hati kerana dia merasakan Penang akan tampil dengan aksi berbeza di hadapan penyokong sendiri dan mereka juga mempunyai pemain import berkualiti yang mampu menghukum pasukannya.

“Penang di laman mereka pastinya akan hadir dengan cara yang lebih baik. Kami melihat banyak video analisa dan kami kenal pasti mana yang perlu diperbaiki. Mereka bertahan dengan baik dan mempunyai pemain yang baik terutama dalam serangan balas dan ‘set pieces‘.

Esteban Solari

“Pemain import mereka juga boleh menghukum kami sekiranya kami leka dan pastinya perlawanan yang sukar tetapi kami mempunyai semangat serta bersedia dari sudut mental untuk berikan segalanya dan tetap menghormati lawan kerana dalam bola sepak tidak ada perlawanan yang mudah buat JDT,” katanya menjelang perlawanan.

Sementara itu Manzoor pula beranggapan pasukannya perlu bersedia untuk berhadapan dengan barisan mana pun yang diturunkan oleh JDT kerana semua itu adalah cabaran kerana lawan sudah berada pada tahap yang berbeza.

“Kami kena hadapi Bergson atau Forestieri kerana mereka mempunyai tahap yang lain. Kami cuba curi satu mata dan jika gagal kami mungkin beri mereka kemenangan ke-13 kerana mereka mempunyai kualiti taktikal dan teknikal yang berbeza,” ujarnya.