BELUM pernah bergelar juara Piala AFF selepas 14 penampilan, itulah kenyataan yang harus diterima Indonesia atau lebih gah dengan gelaran Sang Garuda.
Berada dikelompok kedua terbaik sebanyak enam kali namun menamatkan perlawanan selaku naib juara sesuatu yang ingin ditebus anak didik Shin Tae-yong yang pastinya mengharapkan permulaan 2023 yang baik buat pasukan.
Kecundang ditangan Thailand pada saingan separuh akhir 2020, Sang Garuda kini dilihat berada dalam prestasi terbaik namun lawan yang bakal ditentang bukan calang-calang adalah Vietnam.
Dibarisi beberapa pemain berpengalaman antaranya, Saddil Ramdani, Jordi Amat, Asnawi Mangkualam, Rachmat Irianto dan Ricky Kambuaya serta beberapa pemain lain aksi pertama dilaman sendiri seharusnya dimanfaatkan Indonesia.
Bersaing hebat dengan Thailand untuk berada ditangga teratas Kumpulan A sebelum akur dengan perbezaan jaringan, Indonesia mencatatkan tiga kemenangan dan satu seri.
Menang tipis 2-1 ke atas Kemboja sebelum membelasah Brunei (7-0) Indonesia diikat seri 1-1 berdepan Thailand sebelum mereka kembali meraih tiga mata penuh menewaskan Filipina (2-1).
Sepanjang sejarah, Indonesia tidak pernah kalah ketika bertemu Vietnam dalam Piala AFF. Tetapi perlu diingat bahawa semasa dikendalikan oleh Park Hang-seo, Golden Star Warriors juga tidak pernah tewas menentang skuad Garuda.
Sejak Hang-seo memegang jawatan pada September 2017, Indonesia telah menentang Vietnam tujuh kali, tiga daripadanya di peringkat senior. Hasilnya, Vietnam menang enam kali dan seri sekali.
Keputusan seri itu berlaku pada Piala AFF 2020, di mana skuad kendalian Shin Tae-yong bermain dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam fasa kumpulan selain itu, segalanya berakhir dengan kekalahan buat Indonesia.
Secara terperinci, Indonesia tewas 1-3 dan 0-4 dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 di zon Asia. Kemudian dalam kategori Bawah 23 tahun Indonesia tumbang 1-2 dan 0-3 pada Sukan SEA 2019.
Selain itu, Indonesia turut tewas 0-1 pada Kelayakan Piala Asia B-23 2020 dan tewas 0-3 pada Sukan SEA 2021 yang berlangsung Mei lalu.
Rekod ini jelas tidak bagus, tetapi boleh dijadikan motivasi. Jika berjaya menyingkirkan Vietnam, Indonesia boleh memecahkan rekod buruk sejak lima tahun lalu.
Selangkah lebih dekat untuk menjadi juara, selain memberi hadiah perpisahan pahit manis kepada Park, yang akan meninggalkan Vietnam selepas kejohanan.
Mampukah skuad Garuda melakukannya?
Info Ringkas
- Penyertaan Piala AFF – 14 kali (1996-2022)
- Naib juara – 6 kali (2000, 2002, 2004, 2010, 2016, 2020)
- Gelaran : Sang Garuda
Laluan ke pentas Separuh Akhir
- Indonesia (2) (1) Kemboja
- Brunei (0) (7) Indonesia
- Indonesia (1) (1) Thailand
- Filipina (1) (2) Indonesia