PERTEMUAN PJ City dan Kedah Darul Aman FC (KDA) dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ malam ini pastinya akan digunakan oleh kedua-dua pasukan untuk bangkit selepas mencatatkan keputusan kurang baik sebelum ini.

PJ City yang berehat panjang selepas perlawanan menentang JDT ditangguh pastinya mahu memastikan momentum mereka tidak terjejas meskipun tewas dua perlawanan kepada Negeri Sembilan dan Sarawak United sebelum cuti Aidilfitri.

Skuad kendalian P.Maniam ini semakin mendapat perhatian sejak berjaya kekal dalam saingan Liga Super musim lalu meskipun membariskan 100 peratus pemain tempatan.

Setelah berjaya melakar kejutan menewaskan Terengganu FC, tidak mustahil PJ City mampu mengecewakan KDA yang juga turut mahu bangkit selepas mengalami kekalahan ketiga dari empat perlawanan terakhir.

Manakala di kem Kedah pula, Aidil Sharin Sahak pastinya mahukan anak-anak buahnya bangkit selepas mencatatkan satu lagi kekalahan kepada Melaka United di Alor Star, hujung minggu lalu.

Kedah yang dianggap sebagai antara pencabar JDT musim ini bermula garang pada tiga perlawanan awal sebelum longlai dengan angka bolos yang membimbangkan iaitu 11 gol dari empat perlawanan.

Beberapa kesalahan individu yang menjadi punca kekelahan Kedah sudah dikenalpasti dan mengatasinya bagi memastikan Kedah kembali bersaing sekaligus mengembalikan keyakinan penyokong.

PJ City kini ditangga kelapan liga dengan tujuh mata selepas enam perlawanan hasil dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan manakala KDA di tangga keempat dengan 12 mata hasil empat kemenangan dan tiga kekalahan.

Mampukah PJ City bangkit sekaligus menambah derita KDA ataupun Sang Kenari berjaya pulang dengan mata berharga. Menarik untuk kita saksikan aksi di Stadium MBPJ.