MENDAPAT jolokan “The Maroons” tuan rumah Piala Dunia 2022 berharap mampu melepasi peringkat kumpulan pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia.
Negara Timur Tengah yang mempunyai 2.8 juta penduduk yang kebanyakan terdiri daripada ekspatriat itu, layak ke Piala Dunia secara automatik sebagai tuan rumah kejohanan.
Penyandang juara Asia itu menduduki ranking ke-50 dunia, menjadi negara Arab pertama dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia.
Dalam usaha menjulang kejuaraan Asia, gelaran bola sepak besar pertamabuat Qatar, Maroons hanya melepaskan satu gol dan menewaskan pasukan pilihan yang juga juara empat kali, Jepun 3-1 pada perlawanan akhir.
Pasukan itu dimbimbing bekas pemain Sepanyol, Felix Sanchez yang juga bekas jurulatih remaja Barcelona.
The Maroons melakukan persiapan dengan baik dalam usaha melepasi saingan peringkat kumpulan di Piala Dunia pertama mereka, dengan menyertai beberapa pertandingan antarabangsa.
Tahun lalu, Qatar menewaskan Mesir menerusi sepakan penalti untuk menduduki tempat ketiga dalam piala Arab FIFA yangberlangsung di ibu negara Qatar, Doha.
Pada separuh akhir, kuad bimbingan Felix Sanchez itu tewas 2-1 kepada juara kejohanan, Algeria daslam aksi mendebarkan di Stadium Thumama, dan hanya melepaskan gol pada minit ke-17 masa kecederaan.
Pada 2019, Qatar dijemput untuk menyertai Copa America dan diletakkan dalam Kumpulan B bersama Argentina yang menduduki tempat ketiga kejohanan, Colombia dan Paraguay.
Pada saingan itu, The Maroons tersingkir pada pusingan pertama selepas menduduki tangga tercorot kumpulan dengan berbekalkan hanya satu mata selepas seri 2-2 dengan Paraguay pada perlawanan pembukaan.
Qatar membariskan pemain yang dipilih dari liga tempatan, Qatar Star League.
Pasukan tuan rumah berada dalam Kumpulan A bersama Ecuador (ranking ke-44), Senegal (18) dan Belanda (8).Sebagai negara tuan rumah, Maroons akan membuka saingan menentang skuad Amerika Selatan, Ecuador di Stadium Al Bayt yang mampu memuatkan 60,000 penonton.
Bintang pasukan itu tentunya pemain sayap kiri Akram Afif yang licik.
Pemain berusia 25 tahun itu adalah pemain bola sepak terbaik Asia 2019 selepas menjaringkan satu gol dan 10 assist selepas membawa Qatar menjulang trofi kejuaraan Asia.
Afif pernah berada dalam senarai pemain kelab La Liga, Villarreal selain pernah bermain bersama KAS Eupen dalam liga Belgium.