KEDUDUKAN ranking semasa tidak mematahkan semangat beregu lelaki engara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang nekad mahu merebut slot beraksi di pentas Olimpik Paris 2024.

Bagi Kai Wun, misi mereka itu bukan perkara yang mudah tatkala perlu bersaing dengan beberapa nama besar yang lain, namun dia dan pasangannya percaya peluang masih terbuka.

“Mata kelayakan Olimpik… kalau kita lihat bermula dari kosong dan semua beregu perlu bermula dari awal dan sama juga untuk kami.

“Jadi kami perlu cuba berjuang habis-habisan dan perlu fokus dalam satu-satu kejohanan.

“Ketika ini, kami lihat ada standard tertentu tapi ia tidak jauh. Malah ketika lawan pemain-pemain yang berada di ranking  10 terbaik juga kami boleh menang.

“Apa yang penting kami tidak boleh terlalu sombong dan perlu jaga kondisi kami setiap kali turun beraksi,” katanya.

Mengikut syarat yang ditetapkan, sebuah negara dibenarkan menghantar maksimum dua pasangan ke Sukan Olimpik dengan syarat mereka berada dalam kelompok lapan terbaik apabila tempoh kelayakan Olimpik berakhir pada penghujung April 2024.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan prestasi keseluruhan di Malaysia Masters, Wei Chong mengakui dia dan pasangannya gembira dengan aksi yang ditampilkan sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir selepas beberapa kali terpalit dengan siri kecederaan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun muncul naib juara Malaysia Masters pada penyertaan pertama di kejohanan berstatus Super500./Pix BAM

Jelasnya, pencapaian mara ke pusingan akhir di Masters Malaysia ini akan dijadikan sebagai pemangkin buat mereka untuk tampil lebih cemerlang ketika menyertai kejohanan yang akan datang.

“Rasa gembira juga (pencapaian mara perlawanan akhir Masters Malaysia) sebab bulan Februari lalu cedera dan selepas itu pasangan saya pula cedera sekali gus menyebabkan kami tidak masuk banyak kejohanan.

“Jadi selepas ini kami akan berlatih lebih kuat lagi dan akan ambil satu demi satu langkah untuk memberikan aksi yang terbaik pada kejohanan yang seterusnya,” kata Wei Chong.