BEREGU nombor tiga negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mahu mencipta kejutan di Kumamoto Masters, Jepun biarpun diundi berdepan pilihan kelapan kejohanan di pusingan pertama esok.
Berbekalkan satu gelaran dan dua naib juara musim ini, Wei Chong sedar, mereka perlu bermula dengan prestasi yang konsisten, terutamanya ketika menghadapi saingan dalam siri Jelajah Dunia Super 500 dan 750.
“Saya pasti, semua pemain mengambil bahagian dalam kejohanan dengan misi tidak mahu kalah, begitu juga kami yang mahu pastikan memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” kata Wei Chong.
Dia mengakui, beregu nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak lokek ilmu, sentiasa berkongsi pengalaman dan memberi cadangan kepadanya dan Kai Wun.
“Ada… kami memang cuba gunakan apa yang mereka kongsikan tetapi setiap orang, setiap pemain tidak sama, mungkin idea mereka bagi kena (menjadi) dengan kami, ada yang tidak.
“Sebab itulah kami lebih fokus kepada kelemahan dan kesilapan yang sering kami lakukan dalam perlawanan, kemudian kami perbetulkan.”
Wei Chong, 24, dan Tee Kai Wun mengakui, mereka tidak boleh mengulangi lagi kesilapan demi kesilapan dengan memuncak di satu kejohanan kemudian tewas awal di kejohanan lain.
“Jadi kami mahu konsisten dan mengharapkan mental kami sudah cukup bersedia menghadapi saingan Masters Jepun,” kata Wei Chong lagi.
Gandingan yang kini menghuni ranking ke-20 dunia itu, akan berdepan gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pusingan pertama Masters Jepun.
Pertemuan tunggal di pentas antarabangsa Wei Chong-Kai Wun dengan pasangan nombor 12 dunia itu, berlangsung di Terbuka Taiwan, Jun lalu yang menyaksikan gandingan muda negara itu menang 17-21, 21-19, 21-9 di separuh akhir.
Ironinya, Wei Chong-Kai Wun turut menjuarai kejohanan yang berstatus Super 300 itu.
Selain itu, mereka muncul naib juara di Super 500, Masters Malaysia (Mei) dan Terbuka Arctic (Oktober).
Di Masters Malaysia, mereka tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, manakala di Terbuka Arctic mereka kalah kepada pasangan nombor tiga dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen pada final.
Malah di Terbuka Arctic lalu, gandingan itu juga menyingkir Aaron-Wooi Yik di pusingan pertama kejohanan.