KEDAH DARUL Aman (KDA) FC menafikan sekeras-kerasnya berkenaan isu tuduhan bahawa kelab itu menghadapi tunggakan lima bulan gaji dan dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi dalam Liga Super baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan rasmi, sejak penubuhan KDA FC pada tahun 2021, tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini.

“Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila wabak COVID-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dimana telah menjejaskan penajaan kelab.

“Ketika itu, pasukan Kedah dibawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama lima bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali.

Menurutnya lagi, kenyataan pihak-pihak tertentu yang mengatakan KDA FC menghadapi isu tunggakan gaji sehingga lima bulan adalah satu kenyataan fitnah .

Tambahnya, KDA FC menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar.

“Pihak KDA FC akan mengenalpasti pemilik akaun yang mengeluarkan kenyataan ini dan semua akaun media sosial dan portal yang memainkan isu ini seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan imej kelab di masa hadapan,” katanya.