PADA 11 tahun yang lalu, Terengganu FC menjulang Piala FA, ianya pasti mengukir seribu satu kenangan manis buat anak jati kelahiran Kuala Terengganu, Abdul Manaf Mamat apabila berjaya menjadi punca kepada gol sendiri yang dihasilkan Daudsu Jamaluddin dalam aksi final tersebut.
Kini, bekas penyerang pantai timur itu mengakui falsafah ‘Nafuzi Ball’ yang diterapkan jurulatih berasal dari Kelantan itu adalah merupakan satu usaha yang baik bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Sang Penyu.
Tatkala ramai jurulatih yang menerapkan taktikal bermain secara hantaran jauh dan larian deras, ianya diubah Nafuzi dengan mencipta falsafahnya yang tersendiri.
Selain itu, pemain berusia 35 tahun tersebut menganggap Faisal Halim dan Tchetche Kipre boleh dijadikan sandaran di pentas akhir Piala FA.
“Pandangan saya, jurulatih Nafuzi ini mempunyai falsafahnya tersendiri dengan Nafuzi Ball. Teknik dia agak sedikit defensive, tetapi saya harap bahagian tengah mampu mengawal perlawanan.
“Saya puji Nafuzi dengan falsafah tersebut. Kalau dulu kan, banyak longball, running. Dengan falsafah Nafuzi Ball, dia terapkan one touch, bermain dari bawah, jangan hilang bola.
“Bagi saya, pemain utama untuk Terengganu adalah Mickey, Tchetche pun dalam dua perlawanan terakhir ini dia ada menjaringkan gol dan hatrik, diharap boleh kekal momentum, tetapi paling penting bahagian pertahanan kerana Johor kita akui penyerang mereka memang kaki gol. Kita memang tidak boleh main open play, kalau bermain secara open play, memang mudah untuk JDT.
” Zaman saya itu tiada import. Kalau dulu, bawah Irfan Bakti, gameplay memang bermain secara terbuka, taktikal menyerang, pemain tengah yang baik seperti Nordin Alias dan setiap pemain mempunyai kelebihan bermain,” katanya ketika dihubungi wartawan Flash Sukan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Manaf juga mengharapkan barisan pemain Terengganu supaya merantai pemain muda, Arif Aiman yang jika dibiarkan pastinya mendatangkan mimpi ngeri buat lawan.
“Bagi saya, Arif Aiman perlu dikawal kerana mampu mengucar-ngacirkan pihak lawan. Dengan tenaga dan umurnya yang muda, dia kelihatan sangat matang walaupun dia berada bersama pemain-pemain senior lain.
“Saya mengharapkan Terengganu dapat bagi sesuatu untuk final. Kemenangan adalah satu bonus, kita harap dapat bawa pulang piala ke pantai Timur kali ini. Penyokong memang akan memeriahkan final ini. Tanpa penyokong, siapalah pemain,”ujarnya.