MANCHESTER City mengatasi Inter Milan 1-0 sekali gus memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab, Ketika mereka meraih kejuaraan treble awal pagi Ahad.

Kemenangan yang diraih menerusi jaringan tunggal Rodri pada minit ke-68 di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul itu, menjadi kejuaraan ketiga City musim ini selepas Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

Ia adalah gelaran Liga Juara-Juara ketiga buat pengendali City, Pep Guardiola yang memenanginya sebanyak dua kali bersama Barcelona.

Meraikan puncak kejayaan… Manchester City melengkapkan musim ini dengan trofi ketiga, Liga Juara-Juara Eropah. -Pix Agensi

Bagaimanapun, aksi mungkin berlanjutan ke masa tambahan jika tandukan Romelu Lukaku gagal diselamatkan penjaga gol City, Ederson lapan minit kemudian selepas gol pertama perlawanan.

Tuah seolah-olah memihak City apabila tandukan Federico Dimarco dihalang rakan sepasukannya sendiri, Lukaku.

Dalam masa sama, Inter berjaya menghalang City daripada menjaringkan lebih banyak gol di babak pertama yang menyaksikan perancang kelab Liga Perdana Inggeris, Kevin De Bruyne terpaksa dikeluarkan pada minit ke-36 akibat kecederaan, dan digantikan oleh Phil Foden.

Pemain Belgium itu turut menerima nasib sama ketika City tewas pada final Liga Juara-Juara 2021 di tangan Chelsea.

City juga mencatat sejarah sebagai kelab liga Inggeris pertama menyapu semua trofi utama di liga tempatan dan juga Eropah, selepas Manchester United melakukannya pada 1999. -Agensi