PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag nyata membawa transformasi kepada kelab Red Devils apabila berjaya menyingkirkan Barcelona dalam saingan Liga Europa 2-1 sekaligus menjadikan agregat 4-3 memihak kepada United.

Dua gol masing-masing menerusi Fred dan Antony berjaya mengukir senyuman di wajah pengendali Belanda itu kerana berjaya menewaskan antara pasukan terbaik di Liga Sepanyol.

“Anda perlukan strategi untuk membina keputusan dan mendapatkan kepercayaan teguh untuk diri anda.

“Ini adalah sebuah langkah ke hadapan kerana kami berjaya menewaskan Barcelona, kepercayaan kami menjadi semakin kuat dan kini kami percaya kami boleh menewaskan sesiapa,” ujar Ten Hag.

Bagaimanapun, United dihukum terlebih dahulu pada aksi babak pertama setelah Robert Lewandowski berjaya meletakkan Barcelona di hadapan menerusi jaringan penalti pada minit ke-18.

Namun, United membuktikan tiada apa yang mustahil apabila kembali dengan dua gol menakjubkan sekaligus melayakkan diri ke kelompok 16 terbaik saingan tersebut.

Sejak pemergian Sir Alex Ferguson dari kem United, mereka kelihatan seperti hilang sentuhan berbisa apabila acap kali tumbang dan mempamerkan prestasi kurang meyakinkan.

Erik ten Hag dilihat kembali membawa United ke prestasi sebenar setelah kemarau selama sedekad kejuaraan liga.

Kini, United dalam momentum terbaik memburu Kejuaraan Eropah buat kali keempat setelah tiga kali berjaya dirangkul sebelum ini.