MANCHESTER United menempah slot ke suku akhir Piala Liga selepas mencapai kemenangan 2-0 ke atas pencabar, Burnley, awal pagi Khamis.

Marcus Rashford memastikan kepulangannya daripada tugasan di Piala Dunia dengan melakukan jaringan solo menarik.

Perlawanan itu yang pertama buat United sejak Piala Dunia dan pertama sejak Cristiano Ronaldo meninggalkan Old Trafford.

Red Devils di depan pada minit ke-27 menerusi jaringan pemain Denmark, Christian Eriksen yang turut beraksi di Qatar 2022.

Rashford, yang meledak tiga gol buat England pada Piala Dunia, menggandakan kelebihan United berdepan kelab Liga Kejuaraan, Burnley yang kini dibimbing bekas bintang Manchester City, Vincent Kompany.

Penyerang England itu melarikan bola dari kawasan sendiri dan masuk ke dalam kotak penalti lawan sebelum menyepak leret tepat ke gawang lawan.

Rashford melepaskan rembatan leret untuk menjaringkan gol kedua Manchester United.

“Ada ruang di depan anda dan anda perlu menunggu masa yang tepat untuk menhantar bola tetapi ruang itu sudah terbuka dan saya gembira ia masuk,” kata Rashford kepada Sky Sports.

Ini ialah perlawanan pertama Rashford sejak England tersingkir pada suku akhir di tangan Perancis dengan penyerang itu berkata: “Ia sangat mengecewakan apabila tersingkir dan anda perlu bangkit.

“Anda tidak perlu rasa kecewa terhadap diri sendiri. Anda perlu mendapatkan keputusan dan syukur berjaya melakukannya hari ini.”

Pengurus United, Erik ten Hag berkata: “Masih ada ruang untuk peningkatan tetapi saya gembira dengan kemenangan ini.

“Pemain nampak laparkan kemenangan selepas rehat Piala Dunia.”