BEKAS penyerang England, Alan Shearer menyifatkan kekalahan Manchester United kepada pasukan Brentford 0-4 pagi tadi adalah amat memalukan.
Dalam keadaan terkini, dia mengakui ia sangat sukar untuk Red Devils kembali menjadi pasukan yang digeruni dan menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Ia adalah keadaan yang teruk. Bertahun pengurusan gagal menghasilkan keputusan yang baik. Sifat sebagai seorang ketua pun tiada dan pemilihan pemain sangat teruk.
“Ia akan mengambil masa dan jumlah wang yang banyak untuk membetulkan keadaan. Penyokong juga perlu sabar. Perjalanan mereka masih jauh,” ujarnya.
Sementara itu, bekas kapten Manchester United, Gary Neville tidak menyangka United mempamerkan aksi hambar terutama pada separuh masa pertama aksi bertemu Brentford awal pagi tadi.
Jelasnya, Manchester kini di ambang kehancuran dan perlawanan awal pagi tadi jelas memperlihatkan keadaan Red Devils dibuli dan ia amat menyedihkan buat penyokong.
“Kita sedang menyaksikan kemunduran Manchester United. Saya rasa United akan menjadi lebih baik tetapi mereka telah dibuli, dan ianya tidak boleh disorok lagi.
“Saya telah mengikuti United untuk tempoh 42 tahun dan saya tidak boleh terfikir mereka akan seteruk itu pada separuh masa pertama,” katanya.
Untuk rekod, United mempamerkan aksi hambar setelah berakhir era Sir Alex Ferguson. Kehancuran United bermula apabila David Moyes mengambil alih tugas tersebut dan prestasi hambar terus kekal sehingga kini.