MANCHESTER United gagal mencatat kemenangan apabila diikat Crystal Palace di Stadium Selhurst Park dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Pengurus United, Erik ten Hag, berkata peluang-peluang yang telah dilepaskan pada separuh masa pertama menjadi punca kegagalan pasukannya untuk menewaskan Palace dalam perlawanan itu.
The Reds tampil dominan pada separuh masa pertama, namun beberapa percubaan mereka berjaya dinafikan oleh bekas penjaga gol United, Dean Henderson, yang kini beraksi untuk Crystal Palace.
Ten Hag tidak menyembunyikan rasa kecewanya dengan keputusan seri itu apabila menyatakan bahawa pasukannya perlu memanfaatkan peluang yang ada.
“Saya tidak berpuas hati. Kami sepatutnya menang kerana pada separuh masa pertama, kami mendominasi perlawanan sepenuhnya.
“Kita boleh lihat separuh masa kedua ia lebih seimbang tetapi pada separuh masa pertama, kami sepatutnya menjaringkan satu atau dua gol,” katanya yang dipetik daripada website rasmi Manchester United.
Lebih terkesan apabila Ten Hag turut mengakui bahawa kegagalan menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti menjadi faktor utama kekalahan dua mata itu.
“Kami bermain sangat baik dan mengawal permainan sepenuhnya tetapi permainan sering diputuskan di dalam kotak penalti dan kami sepatutnya lebih terurus.
“Mereka (Crystal Palace) hanya mempunyai satu peluang besar pada minit ke 44, hasil satu kesilapan. Pada masa itu kami sepatutnya sudah mendahului 2-0 atau 3-0,” tegasnya.
Ten Hag juga menyifatkan dua percubaan yang dilakukan United hanya terkena tiang gol sebagai nasib yang malang.
“Garnacho melakukan penyudah yang sangat baik, tiada yang salah dengan percubaannya. Dalam situasi bola muntah pula, Bruno Fernandes juga tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ia adalah bola yang sukar dan itu adalah nasib malang untuk kami,” ujarnya lagi
Walaupun kecewa dengan keputusan perlawanan, Ten Hag memuji kawalan permainan yang ditunjukkan oleh para pemainnya serta tindakan cemerlang penjaga gol United, Andre Onana, yang melakukan dua aksi menyelamat luar biasa pada separuh masa kedua perlawanan.
Kini mereka terpaksa menerima hakikat kehilangan dua mata penting dalam usaha mereka untuk mendaki carta Liga Perdana Inggeris.
Manchester United akan kembali beraksi di Liga Europa pada 26 September ini dan akan bertemu dengan Twente FC dan ini merupakan perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan dalam usaha untuk mara lebih jauh dalam kejohanan tersebut.