MESKIPUN masih bergelut dengan kecederaan buku lali, atlet wushu kebangsaan, Mandy Cebelle Chen enggan menoleh ke belakang sebaliknya bersedia menghadapi Kejohanan Sukan Universiti Asean 2022 (AUG) yang dilangsungkan di Ubon Ratchathani, Thailand bermula 3 Ogos hingga 6 Ogos ini.
Ia merupakan kali pertama atlet berasal dari Damansara, Selangor ini membuat penampilan pertama di pentas Kejohanan Sukan Universiti Asean sepanjang pembabitannya bersama pasukan kebangsaan.
Berbeza daripada sebelum ini, peraturan baharu yang digunakan bermula pada 2019 kini diubah semula kepada peraturan lama 2005 dalam temasya dwitahunan itu.
Perbezaan paling ketara peraturan 2005 dan 2019 adalah darjah kesukaran dan kod pergerakan. Dalam pertandingan wushu, atlet harus mempunyai dua aspek darjah kesukaran iaitu 1.4 bagi elemen kesukaran dan 0.6 bagi pergerakan berterusan.
Peraturan 2005 lebih terhad dari segi pergerakan atlet dan kebiasaannya hanya membenarkan darjah lompatan sehingga 360 darjah manakala peraturan 2019 mempunyai variasi serta membenarkan lompatan sehingga 450 darjah.
Bersempena debutnya dalam kejohanan tersebut, Mandy berazam untuk melakukan yang terbaik tetapi enggan meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana secara realistiknya dia masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.
Atlet berusia 19 tahun itu bakal beraksi dalam kategori kegemarannya iaitu Taijijian dan Taijiquan selain pertama kali tampil dalam kategori duel event dalam kejohanan di Thailand itu.
“Saya masih merasai kesakitan daripada kecederaan buku lali sebelum Sukan SEA lepas tetapi sekarang ini, semakin baik, dan kita baru saja tahu bahawa peraturan pertandingan telah diubah kepada peraturan tahun 2005. Jadi saya harus tukar darjah kesukaran rutin saya, tetapi selain itu saya dalam keadaan baik. Harap dapat kembali lebih baik kali ini.
“Sasaran saya adalah melakukan rutin dengan lancar tanpa ada ruang untuk dibuat penolakan apabila ia sampai ke pergerakan wajib.
“Saya memiliki kepakaran dalam acara Taijijian dan Taijiquan tetapi dalam kejohanan kali ini saya dibenarkan beraksi dalam satu lagi kategori tambahan. Inilah kali pertama saya bermain untuk duel event, ia lebih kurang sama dengan sparring tetapi sebenarnya kita bukan berlawan sebaliknya melakukan persembahan,” ujar Mandy kepada FLASH SUKAN.
Untuk rekod, pencapaian terbaik pelajar Taylor’s University itu adalah merangkul kejuaraan Asian Junior Wushu Championships 2017 di Korea Selatan, juara Taijiquan Championships 2018 di Bulgaria, namun prestasinya mula menurun berikutan ‘rehat panjang’ pandemik Covid-19 serta dibelenggu isu kecederaan buku lali.
Mandy kembali memulakan saingan pada Sukan SEA 2021, Hanoi, Vietnam yang menyaksikan dia hilang sentuhan asalnya sekaligus hanya berjaya melengkapkan kedudukan di tempat keenam dan kelapan temasya dwitahunan itu.