PENGENDALI PDRM FC, P.Maniam meluahkan rasa gembira pasukannya mengutip satu mata menentang Penang FC semalam meskipun skuadnya masih lagi mempunyai beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

Jaringan Ifedayo Olesegun pada minit ke-32 memberikan pasukan The Cops pendahuluan dalam permainan namun gol penyamaan Penang pada babak kedua oleh Rodrigo da Silva Dias memaksa kedua-dua pasukan untuk berkongsi mata.

“Pada separuh masa pertama kita bermain bola sepak yang baik, kita menguasai permainan dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol dan Ifedayo berjaya (jaringkan) gol.

Ketua jurulatih PDRM FC, P Maniam

“Separuh masa kedua terutamanya 20-30 minit pertama kita langsung tidak berada dalam permainan jadi saya melakukan beberapa perubahan kemudian namun masih tidak berapa nak menjadi.

“Penang FC bermain dengan sangat bagus pada separuh masa kedua, mereka mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol kemenangan. Secara keseluruhan saya gembira dengan satu mata tetapi terdapat perkara yang perlu diperbaiki iaitu bahagian pertahanan,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.

Sementara itu, Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal pula memuji dengan sikap tidak mahu mengalah para pemainnya dalam perlawanan di Stadium Selayang pada Sabtu malam.

Pengendali Penang FC, Akmal Rizal berkata terdapat beberapa yang boleh diperbaiki. (Sumber Gambar: FB Penang FC)

“Pemain telah mengikut apa yang diatur dalam seminggu latihan. Kita tahu PDRM bukanlah pasukan yang mudah, mereka mempunyai corak bertahan yang baik dan kita cuba mencipta lebih banyak ruang dan peluang untuk jaringkan gol pada separuh masa pertama tetapi kita gagal, sebaliknya sedikit kesilapan menghukum kealpaan pemain pertahanan kita.

“Separuh masa kedua pemain-pemain telah memberi satu ‘fighting spirit’ yang terbaik dan mereka tidak mahu kalah. Saya ucapkan terima kasih kepada para pemain kerana berjuang secara habis-habisan.

“Selepas tiga perlawanan, saya rasa ini adalah perkara yang positif kerana kita seri dengan tiga pasukan yang berada di atas kita musim yang lepas. Dalam tiga perlawanan saya dapat mengenal pasti kekurangan kita, ruang-ruang yang kita boleh perbaiki dan saya yakin dengan kemampuan pemain-pemain yang ada untuk memberi saingan yang lebih baik untuk pasukan-pasukan lain selepas ini,” katanya.

Untuk aksi seterusnya, PDRM FC akan bertemu Malaysian University Football Team manakala Penang FC akan bertemu Sri Pahang FC untuk pusingan ke 16 Piala FA pada 12 dan 14 Jun depan.