KETUA jurulatih PDRM FC, P.Maniam nyata kecewa kerana kelekaan pada minit awal permainan menyebabkan mereka dihukum dan menjadi penyebab kekalahan pada aksi pembukaan Liga Super 2024-25 menentang Kedah Darul Aman FC di Selayang pada Sabtu.

Sang Saka Biru dikejutkan gol seawal 33 saat permainan oleh Syafiq Ahmad dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan kerana keadaan padang yang teruk mengganggu usaha pemain untuk menambah jaringan.

Namun begitu, dia tetap berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya dan berharap mereka dapat bangkit dari kekalahan ini dan mula mengutip mata pada perlawanan kedua dan seterusnya selepas ini.

Maniam kecewa dibolosi pada minit pertama

“Pada separuh masa pertama kami tidak beri tumpuan pada minit awal dan Kedah menghukum kami dengan gol awal. Selepas itu kita dapat satu dua peluang untuk dapat gol penyamaan dan kami bermain lebih bagus selepas ketinggalan.

“Saya rasa sangat rugi kerana lepas gol pada minit pertama dan selepas itu tidak banyak perkara berlaku kerana hujan lebat dan sebenarnya kami bermain lebih baik tetapi kurang konsentrasi hingga dihukum Kedah.

“Tidak banyak dapat dilihat pada babak kedua kerana padang tidak bagus dan ini sebenarnya kurang baik untuk bola sepak. Meskipun kalah 1-0, saya bangga kerana mereka tunjuk karektor dan berikan aksi bersungguh-sungguh sepanjang 90 minit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Para pemain digesa bangkit pada perlawanan seterusnya di Ipoh

Maniam kini perlu kembali ke papan putih untuk merencanakan taktikal terbaik untuk bertandang ke Ipoh bagi menentang Perak dan dia mahu para pemain belajar dan bersedia untuk perlawanan seterusnya.

“Saya risau kerana kalah sebab bagi saya satu mata lebih baik dari tewas dan kini perlu bersedia lebih baik untuk perlawanan akan datang dan tidak mahu bolos selain mahu pemain belajar dari kesilapan perlawanan ini,” jelasnya.

Bekas pemain Selangor itu juga turut memuji kawalan keselamatan yang diberikan pihak berkuasa sepanjang berada di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu dan berharap segala serangan yang berlaku kepada pemain mencapai titik noktah dan tidak berulang.