MENJELANG saingan hoki Piala Dunia di India bulan depan, pengendali skuad kebangsaan A.Arulselvaraj, tagih kehebatan Faizal Saari pada zaman kegemilangannya dahulu.
Arul berkata, pemilihan penyerang prolifik negara itu ke dalam skuad yang akan menggalas cabaran di Bhubaneswar-Rourkela, 13 hingga 29 Januari depan, bukan dibuat semata-mata status pemain kelahiran Kelantan itu beraksi di luar negara.
“He change a lot, tidak dapat dinafikan dia berubah sejak beraksi di luar negara, banyak mengambil tanggungjawab sendiri.. but he need to perform for Malaysia,” kata Arul.
“Now we want he to perform because i think.. he is another hidden champ. When he was young, he really perform but lately he is not… we want him to comeback macam umur dia 20-an.”
Keluhan Arul itu menunjukkan betapa ketua jurulatih Speedy Tigers mengharapkan kebangkitan Faizal, yang masih dianggap tonggak utama pasukan.
Menjelaskan lagi kepentingan sosok Faizal dalam pasukan, apabila Arul menyuarakan: “We relying on him a lot.. so tanggungjawab dia bukan untuk dirinya, big responsible to him to show he can lead, can perform under pressure, can perform at high tempo.”
Arul berkata, sejak beliau mengambil alih tugas membimbing skuad hoki kebangsaan dari Paul Revington pada Ogos 2020, dia banyak meluangkan masa bersama Faizal.
“Dia pemain yang bagus tapi perlukan perhatian, tapi manja dengan saya ada limitnya juga. Apapun perkara positif adalah dia respon kepada saya,” kata Arul.
Faizal sudah agak lama tidak mewakili skuad kebangsaan apabila tidak tersenarai dalam skuad di Piala Asia yang berlangsung di Jakarta pada Mei 2022 di Jakarta, dan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak awal November lalu, kerana beraksi di Liga Belanda yang lebih mencabar dan berintensiti tinggi.
“Selama ini dia hanya bersandarkan kepada nama besarnya, dan saya tidak berminat dengan perkara sebegitu. Ini merupakan pesanan buat Faizal untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan mempamerkan aksi terbaik dalam pasukan,” katanya.
Faizal gagal mempamerkan aksi sepertimana status bintangnya ketika mewakili negara di Kejohanan Piala Negara-Negara yang berlangsung di Afrika Selatan, awal bulan ini, apabila sekadar meledak satu gol pada perlawananterakhir kumpulan, menentang Jepun.
Sebelum ini, Faizal adalah penjaring terbanyak di beberapa kejohanan utama antaranya ketika Kejohanan Piala Asia 2017, Liga Hoki Dunia 2015, Trofi Juara-Juara Asia 2013 serta Piala Sultan Azlan Shah 2013.
Pada Piala Dunia 2023, Malaysia diletakkan dalam kumpulan C bersama Chile, New Zealand, dan juara dunia tiga kali, Belanda.
Speedy Tigers akan membuka saingan menentang Belanda pada 14 Januari sebelum menghadapi Chile dua hari selepas itu, di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela, sebelum berpindah ke Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar tiga hari berikutnya untuk melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang New Zealand.
Juara kumpulan akan layak secara automatik ke suku akhir, sementara pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi ke pusingan kalah mati untuk mendapatkan satu lagi slot ke suku akhir.