PEMAIN tengah Terengganu FC (TFC), Manuel Ott gembira prestasi dipamerkan rakan sepasukan ketika membenam cabaran Kedah Darul Aman FC aksi pusingan kedua Piala FA di Gong Badak, Rabu lepas.
Berita gembira itu dikongsi sendiri pemain berdarah kacukan Filipina-Jerman itu menerusi ciapan Twitter.
Pemain berusia 30 tahun yang lebih mesra dipanggil ‘Manny’ beraksi cemerlang sepanjang perlawanan dan kini akan menikmati rehat seketika sempena Aidiladha yang akan disambut umat Islam di negara ini.
“Suku akhir ! Usaha berpasukan yang baik di hadapan orang ramai yang hebat.
“Kini beberapa hari untuk pulih selepas jadual padat sejak bertugas bersama pasukan kebangsaan,” katanya yang baru selesai mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2023 bulan lepas dengan The Azkals.
Sepanjang mewakili Sang Penyu, Manuel telah beraksi tujuh perlawanan dan menghasilkan satu gol bagi musim 2022.