MASA depan pemain sayap lincah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo menjadi tanda tanya selepas memuat naik status luahan dirinya di Instagram pada Isnin.
Ia sekali gus menerbitkan desas-desus dalam kalangan penyokong tempatan mengenai hala tujunya bagi kempen Liga Malaysia 2024 yang dijangka bermula April tahun depan.
Beberapa kelab besar menunjukkan minat terhadap pemain yang pernah menandatangani kontrak untuk pasukan Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday B-21 pada musim sejuk 2020.
Spekulasi bertiup kencang Hidalgo akan menyarung jersi pasukan gergasi dari selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim bagi perpindahan akan datang.
Hidalgo sebelum ini mengakui mempunyai hubungan baik dengan sahabat karibnya iaitu rakan senegara, Fernando Forestieri yang sedang mewakili skuad JDT.
Hubungan dua pemain dari Argentina itu bermula ketika kedua-duanya masih bergelar sebagai pemain Sheffield Wednesday iaitu kelab yang kini beraksi di Football League One, liga ke-3 dalam hierarki bola sepak Inggeris.
Ada kemungkinan persahabatan erat yang terjalin antara mereka dapat disatukan kembali dalam pasukan yang sama dalam Harimau Selatan di bawah teraju pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Walaupun begitu, ianya sekadar cakap-cakap di bibir penyokong dan segala keputusan rasmi biarlah diumumkan atau didedahkan sendiri pihak pengurusan yang berminat menyunting khidmatnya.
Jika benar Hidalgo ingin berhijrah, pengurusan KDA FC harus segera mencari calon pengganti setandingnya musim depan.