PEMAIN sayap Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo muncul sebagai pemain import terbaru Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi musim Liga Malaysia 2023.
Sebelum ini, sudah terbit desas-desus dalam kelompok penyokong Tok Gajah bahawa pemain lincah berusia 24 tahun dari Argentina akan menuju ke utara bergabung bersama Nafuzi Zain yang kini pengendali Sang Kenari.
Selain Hidalgo, Kedah turut mengumumkan kemasukan Willian Lira Sousa dan juga Bojan Ciger selepas berjaya membawa masuk khidmat Manny Ott, Amirbek Jurobaev dan Alan Robertson bagi memperkuatkan cabaran pasukan musim ini.
Perkembangan itu disahkan oleh pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Rasmi dan Pengumuman pasukan Liga Super KDA FC 2023 di House of Sang Kenari 1924, Alor Setar pada Khamis.
Sementara itu, Willian Lira merupakan penyerang bola sepak Brazil yang kali terakhir bermain untuk kelab divisyen dua Liga Jepun Ventforet Kofu pada 2022. Bersama Kedah, dia akan memakai jersi No 9.
Terdahulu, Kedah sudah mendapatkan khidmat penjaga gawang Kalamullah Al-Hafiz, Fikri Che Soh, Wan Amirul Afiq, Faizal Talib, Zharmien Ashraf, Azrin Afiq, Mior Dani Armin serta pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck untuk pemain tempatan.
Persiapan musim baharu juga berjalan lancar apabila Nafuzi dan anak buahnya mengadakan sesi latihan awal di Padang MADA, Ampang Jajar dua hari lepas.
Selepas ini, Sang Kenari boleh memulakan langkah dengan menyambung sesi latihan pra-musim dengan penglibatan hampir keseluruhan pemain lokal termasuk import.